Real bangkit kalahkan Atletico

Benzema (kanan) meledak satu gol ketika membantu Real menewaskan Atletico 3-1. - Foto EPA
Benzema (kanan) meledak satu gol ketika membantu Real menewaskan Atletico 3-1. - Foto EPA
A
A
A

REAL Madrid bangkit daripada ketinggalan menewaskan Atletico Madrid 3-1 untuk menempah slot separuh akhir Piala Raja Sepanyol pada Jumaat.

Pemain sensasi, Karim Benzema dan Vinicius Jr menjadi duri dalam daging buat Atletico apabila meledak dua gol pada masa tambahan.

"Kami mengharungi perlawanan yang sukar, tetapi mampu menukar keputusan dengan karakter dan pemain sedia ada.

"Kami sepatutnya menjaringkan gol lebih awal," ujar Benzema.

Pada aksi itu, Atletico terlebih dahulu di depan menerusi penyerang Alvaro Morata, bekas pemain akademi Real yang menyumbat gol pada minit ke-19.

Kelincahan Rodrygo mengelecek tiga pertahanan Atletico berjaya menyamakan kedudukan buat Real pada minit ke-79.

Atletico beraksi dengan 10 pemain pada masa tambahan selepas pertahanan Stefan Savic dilayang kad kuning kedua apabila mengasari Eduardo Camavinga pada minit ke-99.

Lima minit kemudian, hantaran pemain gantian Real, Marco Asensio dalam kotak penalti disambut dengan rembatan kencang Benzema yang menerjah jaring.

Vinicius memastikan kemenangan Real pada penghujung permainan apabila berjaya memperdaya pertahanan Atletico.

Dalam aksi lain, Athletic Bilbao menang 3-1 di Valencia untuk mengiringi pemenang 31 kali, Barcelona dan Osasuna ke perlawanan separuh akhir.