Dua treler pengangkut bawa kereta Perodua terlibat kemalangan

Beberapa buah kereta jenis Perodua yang diangkut treler berkenaan turut alami kerosakan dalam kejadian di KM21.3, Lebuhraya NKVE di Petaling Jaya pada Khamis. - Foto PDRM
Beberapa buah kereta jenis Perodua yang diangkut treler berkenaan turut alami kerosakan dalam kejadian di KM21.3, Lebuhraya NKVE di Petaling Jaya pada Khamis. - Foto PDRM
A
A
A

PETALING JAYA - Dua pemandu mengalami kecederaan di bahagian kepala dalam kemalangan melibatkan dua buah treler pengangkut pelbagai model kenderaan jenis Perodua di Kilometer (KM) 21.3, Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kemalangan itu menyebabkan beberapa buah kereta yang diangkut treler berkenaan mengalami kerosakan.

"Kemalangan berlaku lebih kurang jam 1.52 petang. Kedua-dua buah lori berkenaan dalam perjalanan dari Perodua Rawang menuju ke destinasi sama di Klang.

"Sejurus tiba di lokasi kejadian, lori yang berada di belakang telah melanggar lori di hadapan menyebabkan muatan dibawa kedua-dua lori mengalami kerosakan.

"Malah, salah satu muatan kereta jenis Perodua Myvi yang dibawa telah terjatuh dan terbalik di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Fakhrudin berkata, pemandu mengalami kecederaan di bahagian kepala dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Kepada sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhamad Aizuddin Awang di talian 0139003499," ujar beliau.