Belanjawan 2023: 568 sekolah daif di Sarawak jadi keutamaan

Fadhlina Sidek. - Foto: Bernama
Fadhlina Sidek. - Foto: Bernama
A
A
A

MIRI - Usaha membaik pulih 568 sekolah daif di seluruh Sarawak menjadi antara perhatian utama kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2023 pada 24 Februari ini, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengenal pasti sebanyak 455 sekolah daif dalam skala enam dan 113 sekolah daif dalam skala tujuh.

Menurutnya, skala enam dan tujuh dalam penilaian infraskruktur sekolah itu merujuk kepada keadaan bangunan yang bahaya serta tidak selamat digunakan.

"KPM akan beri tumpuan dan perhatian penuh untuk pembangunan dan penyelenggaraan sekolah-sekolah ini, kita tidak meminggirkan mana-mana sekolah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Ziarah Prihatin di sini pada Khamis.

Selain itu, KPM turut mengumumkan peruntukan penyelenggaraan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Liam, SK Lepong Ajai, SK St. Joseph dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Miri, di sini. - Bernama