Lebih 12,000 mangsa terjejas banjir di empat negeri

Anggota Bomba dan Penyelamat mengangkat warga emas Dodie dray, 79, ke dalam bot untuk dipindahkan selepas rumahnya dinaiki air di Kampung Rancangan Cocos, Pamol pada Khamis. - Foto Bernama
Anggota Bomba dan Penyelamat mengangkat warga emas Dodie dray, 79, ke dalam bot untuk dipindahkan selepas rumahnya dinaiki air di Kampung Rancangan Cocos, Pamol pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Mangsa terjejas akibat banjir di seluruh negara membabitkan empat negeri iaitu Sabah, Johor, Pahang dan Sarawak kini seramai 12,166 orang, setakat jam 4 petang Khamis.

Menerusi laporan terkini dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Sabah merekodkan mangsa teramai dengan 6,453 mangsa daripada 2,209 keluarga di empat daerah di negeri tersebut.

Di Johor pula, jumlah mangsa terlibat menunjukkan sedikit penurunan kepada seramai 5,111 membabitkan 1,430 keluarga di tujuh daerah di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, seramai 320 mangsa banjir terdiri daripada 96 keluarga dicatatkan di satu daerah di Pahang manakala di Sarawak pula, kejadian bencana tersebut membabitkan 282 mangsa dan melibatkan 56 keluarga di dua daerah negeri tersebut.