Sze Fei- Nur Izzuddin nekad berpisah - Rexy

Pemain beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani nekad tamatkan gandingan yang dibentuk sejak 2016. - Foto Bernama
Pemain beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani nekad tamatkan gandingan yang dibentuk sejak 2016. - Foto Bernama
A
A
A

SUSULAN prestasi kurang memberangsangkan sejak kebelakangan ini, beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, telah mengambil keputusan untuk berpisah, kata Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky.

Rexy berkata, keputusan tersebut diambil selepas juara Terbuka Jerman 2022 itu mengadakan pertemuan dengannya petang semalam.

Beliau berkat,a pihaknya telah melakukan sedaya upaya bagi mengekalkan beregu berkenaan, namun kedua-dua pemain nekad untuk menamatkan gandingan yang dibentuk sejak 2016 itu.

"Jadi bukan kita (BAM dan pihak kejurulatihan) yang setuju, tapi mereka (Sze Fei-Nur Izzuddin) yang tidak mahu main bersama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya sama ada mereka akan digandingkan dengan pasangan baharu, pakar beregu dari Indonesia itu berkata, barisan kejurulatihan akan membuat perbincangan bagi menentukan hala tuju kedua-dua pemain berkenaan selepas ini.

Sejak menjuarai Terbuka Jerman pada Mac lepas, pasangan yang menghuni ranking ke-11 dunia itu dilihat bergelut untuk mengekalkan konsistensi mereka, termasuk tersingkir daripada pusingan pertama pada dua kejohanan tahun ini iaitu Terbuka Malaysia dan Terbuka India.

Pasangan negara itu ditunjuk jalan keluar oleh pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang, 21-16, 11-21, 17-21 pada Terbuka Malaysia dan pulang awal dari Terbuka India selepas tumpas kepada satu lagi wakil China, Ren Xiang Yu-Tan Qiang, 21-19, 21-17. - Bernama