KKM ambil langkah advokasi, cegah penjualan vape 'Tiger Pod'

Dr Zaliha - Foto Bernama
Dr Zaliha - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, universiti awam dan swasta serta badan-badan bukan kerajaan dalam aktiviti advokasi dan pencegahan bagi memastikan pendidikan berkaitan bahaya merokok dapat disebarkan secara meluas kepada masyarakat.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya mengambil berat dan kesal berhubung isu penjualan produk rokok elektronik atau vape di hadapan sebuah sekolah yang viral baru-baru.

Menurutnya, KKM mendapat maklumat aktiviti promosi, pengiklanan dan penjualan rokok elektronik atau vape yang menyerupai permainan kanak-kanak atau 'Tiger Pod' kini semakin berleluasa.

"Perkara ini sangat merisaukan ibu-bapa dan guru kerana produk tersebut direka sehingga menarik perhatian kanak-kanak dan remaja untuk menggunakannya.

"Apa yang lebih membimbangkan ialah rokok elektronik atau vape ini menggunakan cecair bernikotin, yang penjualannya adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952," jelasnya pada Rabu.

Tambah Zaliha, pengedaran dan pembekalan sebarang persediaan mengandungi nikotin memerlukan pendaftaran dan kelulusan sebagai ubat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Jualan Dadah 1952.

"Menyedari bahawa Akta Racun 1952 tidak mempunyai peruntukan terhadap larangan aktiviti promosi dan pengiklanan cecair rokok elektronik atau vape, maka peruntukan tersebut telah dimasukkan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang lebih bertujuan mengawal selia penghasilan produk tersebut.

"Ia telah pun dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada sidang Parlimen Ogos 2022 dan pelaksanaan terhadapnya masih tertangguh hingga kini.

Selain itu, Zaliha menegaskan, penyelesaian terhadap penjualan produk yang boleh membahayakan kesihatan generasi muda seperti ‘Tiger Pod’ perlu kepada kerjasama pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi penguatkuasaan yang lain.

"Pengusaha-pengusaha vape haruslah mengambil sikap pertanggungjawaban yang tinggi dalam menghasilan produk mereka.

"Ibu-bapa juga diminta terus memantau aktiviti anak-anak supaya tidak terjebak dalam amalan yang boleh merosakkan kesihatan mereka," ujarnya.