Mangsa banjir di Johor terus meningkat

Anggota tentera meredah sekitar taman bagi membantu menyelamatkan mangsa-mangsa banjir di Kota Tinggi, Johor. - Foto Bernama.
Anggota tentera meredah sekitar taman bagi membantu menyelamatkan mangsa-mangsa banjir di Kota Tinggi, Johor. - Foto Bernama.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat apabila seramai 3,612 orang melibatkan 1,014 keluarga dipindahkan ke 35 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi pada Rabu.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Batu Pahat menjadi daerah terbaharu terjejas banjir selepas seramai 121 orang daripada 30 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Parit Haji Kamisan yang dibuka tengah malam Selasa.

"Daerah Segamat paling terjejas dengan bilangan mangsa banjir yang direkodkan seramai 1,392 orang daripada 393 keluarga ditempatkan di 13 PPS. Diikuti Kluang seramai 1,139 orang daripada 325 keluarga ditempatkan di 11 PPS.

"Seterusnya di Kota Tinggi, jumlah terkini mangsa banjir berjumlah 557 orang daripada 136 keluarga di enam PPS manakala Mersing pula seramai 403 orang daripada 130 keluarga di empat PPS," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, tiga sungai telah melebihi paras bahaya iaitu Sungai Muar di muara Sungai Gemas (19.13 meter), Sungai Segamat (37.55m) dan Sungai Kahang.