Lelaki pecah rumah tertidur akibat mabuk

Seorang penjenayah terlena di rumah yang dicerobohi dipercayai gara-gara mabuk selepas minum minuman keras milik penghuni rumah berkenaan. Foto: Sumber intenet.
Seorang penjenayah terlena di rumah yang dicerobohi dipercayai gara-gara mabuk selepas minum minuman keras milik penghuni rumah berkenaan. Foto: Sumber intenet.
A
A
A
SEREMBAN - Seorang penjenayah terlena di rumah yang dicerobohi dipercayai gara-gara mabuk selepas minum minuman keras milik penghuni rumah berkenaan dalam satu kejadian di Taman Tanjung, Bahau, Jempol, pada Isnin.



Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kehadiran lelaki berusia 41 tahun itu disedari penghuni rumah berusia 65 tahun pada 6.30 pagi yang kemudian membuat laporan polis.

"Ketika kejadian pengadu tinggal bersama isteri dan empat anak mereka di rumah teres satu tingkat. Semasa masuk ke dalam rumah, suspek dipercayai minum minuman keras milik pengadu sehingga mabuk dan tertidur.

"Sebaik sahaja pengadu bangun tidur awal pagi, dia menemukan suspek terbaring di dalam rumah tidak sedarkan diri. Pengadu lihat terdapat beg kertas mengandungi dua pisau, pemutar skru, dua botol minuman keras dan sebuah tablet berada bersebelahan suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Chang Hook berkata, lelaki tersebut dipercayai menceroboh masuk rumah berkenaan dengan memanjat pagar dan masuk melalui pintu belakang yang tidak berkunci.

Beliau berkata, tiada rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu mempunyai 15 rekod dadah, enam rekod jenayah dan berstatus orang yang dikehendaki polis.

"Suspek direman empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya yang turut menasihatkan penduduk setempat agar lebih berhati-hati dengan sentiasa mengunci rumah bagi keselamatan keluarga. - Bernama.

Artikel Berkaitan: