'Saya jadi saksi Dr Rani insan berhati mulia' - Hannah Yeoh

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pemergian bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Allahyarham Dr Abd Rani Osman pada Isnin meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menyifatkan Allahyarham adalah insan istimewa yang berhati mulia.

Hannah berkata, beliau terkejut selepas mendapat perkhabaran tersebut ketika hari kedua sambutan Tahun Baharu Cina dan bergegas ke Meru, Klang bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Menurutnya, Allahyarham merupakan sahabat baik yang sering menjadi contoh bagaimana menjalani kehidupan bersama meskipun dalam perbezaan agama.

"Di masjid, kedengaran doa yang dibacakan bercampur-baur dengan tangisan dan berakhir dengan kata-kata ini - 'ini hamba ALLAH yang baik'.

"Saya menjadi saksi bahawa Dr Rani adalah seorang insan yang baik. Benar, masakan tidak, setiap kali saya diserang kerana kepercayaan agama saya, beliaulah yang akan meyakinkan saya untuk tidak berasa bimbang.

"Apabila anak perempuan saya dilahirkan dan diadakan majlis ringkas di gereja, Dr Rani turut menghadirinya. Semasa isu serbuan DUMC (Gereja Methodist Damansara Utama) berlaku, beliaulah mengetuai delegasi ahli politik Islam untuk berdialog dengan pihak gereja.

"Beliau memperlihatkan kepada saya bagaimana kita boleh menjalani kehidupan bersama dengan orang yang berlainan agama," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Dr Abd Rani, 64, meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika sedang bercuti bersama keluarga di Pulau Carey, Kuala Langat.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru itu menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Banting dan disahkan meninggal dunia sekitar jam 5 pagi.

Dalam pada itu, Hannah turut melahirkan rasa syukur kerana dapat menghadiri pengebumian Allahyarham dan mengakui tidak dapat menahan air mata.

"Beliau tentunya akan sangat dirindui. Kami mungkin seteru dalam politik, namun Dr Rani adalah satu-satunya, malah seorang sahabat yang paling dikasihi.

"Begitulah bagaimana saya akan mengenangnya. Semasa hayat, ketika mempunyai jawatan ataupun tanpa sebarang jawatan, tuan memberikan khidmat bakti terbaik buat rakyat Meru," katanya.

Hannah juga berkata, Dr Abdul Rani kekal dalam Pas ketika Pakatan Rakyat (PR) berpecah pada 2015 dan Pas Selangor mencapai keputusan terbaik dalam pilihan raya umum (PRU) adalah ketika diterajui Allahyarham.

"Kami terus kekal berhubung. Malah, saya sempat berjumpa beliau dan makan bersama di Meru tahun lepas. Saya berasa lega kerana tidak menangguhkan hasrat tersebut.

"Apabila papan iklan kempen saya dirosakkan baru-baru ini, saya mendapat mesej daripada Dr Rani yang bertanyakan keadaan saya. Dr Rani, saya begitu sayangkan Tuan dan terima kasih kerana pernah hadir dalam hidup saya," katanya.