Tiada isu diskriminasi dalam Bengkel Persediaan SPM di Johor

KPM menafikan wujud diksriminasi dalam bengkel anjuran SMK Infant Jesus Convent, Johor Bahru baru-baru ini- Gambar hiasan.
KPM menafikan wujud diksriminasi dalam bengkel anjuran SMK Infant Jesus Convent, Johor Bahru baru-baru ini- Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan tiada isu diskriminasi terhadap pelajar dalam program Bengkel Persediaan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anjuran sebuah sekolah di Johor Bahru, baru-baru ini

Justeru KPM, dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, dakwaan menerusi hantaran Twitter kononnya wujud diksriminasi dalam bengkel anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus Convent, Johor Bahru, yang diadakan di Hotel Suasana, Johor Bharu itu, adalah tidak benar.

Menurut kenyataan berkenaan, bengkel itu dilaksanakan dan diasingkan mengikut siri untuk mengelakkan gangguan terhadap calon yang sedang membuat persiapan bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.

KPM berkata, pada 19 dan 20 Januari lalu, Bengkel Persediaan SPM untuk calon telah dilaksanakan dahulu di Hotel Suasana, Johor Bahru melibatkan 30 calon yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah serta melibatkan calon Galus (gagal lulus) dalam beberapa mata pelajaran lain.

"KPM dimaklumkan bahawa bengkel susulan yang sama bagi calon lain juga telah dirancang untuk dilaksanakan pada 26 dan 27 Januari ini bertempat di hotel yang sama,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPM, bengkel tersebut diadakan atas inisiatif Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru dengan kerjasama antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan serta Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) serta Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS).

KPM memohon kerjasama agar ibu bapa dan masyarakat terus menghubungi kementerian itu melalui platform rasmi sekiranya terdapat sebarang isu atau masalah terutamanya yang melibatkan murid-murid. - Bernama