Sungai, perparitan cetek punca banjir

Sharifah (duduk, kanan) melawat keluarga mangsa banjir di PPS Balai Raya Kampung Bentong, Kluang, pada Selasa.
Sharifah (duduk, kanan) melawat keluarga mangsa banjir di PPS Balai Raya Kampung Bentong, Kluang, pada Selasa.
A
A
A

KLUANG - [DIKEMAS KINI] Masalah sungai dan sistem perparitan cetek menjadi punca banjir di Kampung Bentong dan Kampung Tengah Dalam, pada Selasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, hujan lebat mengakibatkan sungai dan parit di kampung berkenaan melimpah sekali gus mengakibatkan banjir.

"Sungai yang cetek perlu di dalam dan dilebarkan lagi. Begitu juga sistem perparitan yang kecil belakang rumah penduduk tidak dapat menampung kapasiti air apabila hujan.

"Apabila parit berkenaan penuh dapat dilihat air tidak mengalir. Kita dapat lihat parit depan rumah besar tapi belakang rumah kecil.

"Kita perlukan dana daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk mengatasi masalah di dua kampung ini yang berada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, beliau melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Bentong, pada Selasa.

Shahrol Shiro beramah mesra dengan mangsa banjir dari Kampung Bentong yang ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Bentong, Kluang, pada Selasa.
Shahrol Shiro beramah mesra dengan mangsa banjir dari Kampung Bentong yang ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Bentong, Kluang, pada Selasa.

Turut hadir, Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang dan pelawak Shahrol Shiro yang merupakan anak kelahiran daerah ini.

Setakat jam 8 malam Selasa, terdapat 300 mangsa banjir melibatkan 84 keluarga dari Kampung Bentong, Kampung GSA Chamek, Kampung Tengah Dalam, Kampung Muhibbah dan Perumahan SPKR Yap Tau Sah yang dipindahkan ke enam PPS, di sini sejak pagi Selasa.

Mengulas lanjut, Sharifah mahu Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pejabat daerah mencari jalan menyelesaikan masalah banjir.