Premis perniagaan warga asing di Bukit Bintang diserbu

Sebanyak 14 premis dikendalikan warga asing, diserbu DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaan di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang.
Sebanyak 14 premis dikendalikan warga asing, diserbu DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaan di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 premis dikendalikan warga asing, diserbu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Jabatan Penguatkuasaan di sebuah pusat beli-belah, Bukit Bintang, di sini.

Daripada 14 buah premis yang diserbu, 11 premis diarah tutup serta-merta dan 14 notis kompaun dikeluarkan ke atas premis berkenaan melibatkan empat kesalahan tiada lesen perniagaan dan 10 lantik pembantu tiada kebenaran.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, pemerhatian dan risikan dilakukan pihaknya sejak seminggu lalu terhadap premis perniagaan dikendalikan warga Bangladesh, Pakistan, dan Myanmar.

Menurut DBKL, 14 premis berkenaan dikendalikan warga asing dalam perniagaan penjualan pakaian, kasut, beg, aksesori telefon, aksesori komputer, membaiki peralatan elektrik dan salon kuku.

“Dalam pemeriksaan kali ini, semakan dibuat ke atas 27 orang pembantu atau pengendali premis warga asing dan tindakan penutupan serta-merta terhadap 11 buah premis menerusi Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Kami turut keluarkan surat tunjuk kepada pemilik premis warga tempatan bagi pengesyoran penamatan atau pembatalan lesen perniagaan berikutan membenarkan warga asing mengendalikan aktiviti perniagaan mereka tanpa kebenaran sah,” kata DBKL dalam kenyataan di laman Facebooknya pada Selasa.

Dalam pada itu, DBKL dalam kenyataan sama menegaskan akan meneruskan tindakan penguatkuasaan dan pemerhatian di semua lokasi tumpuan (hotspot) yang lain melibatkan aktiviti-aktiviti perniagaan dikendalikan oleh warga asing.

Pihak berkuasa tempatan itu juga akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara mengikut bidang tugas dan peruntukan bidang kuasa masing-masing.