Mayat lelaki ditemukan terapung dalam bekas lombong

Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di bekas lombong berhampiran tapak projek MCT Cybersouth Dengkil, Sepang pada Selasa.
Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di bekas lombong berhampiran tapak projek MCT Cybersouth Dengkil, Sepang pada Selasa.
A
A
A

SEPANG - Mayat seorang lelaki ditemui terapung dalam bekas lombong berhampiran tapak projek MCT Cybersouth Dengkil, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mayat lelaki itu ditemui lengkap berpakaian baju-T dan berseluar jeans berwarna hitam oleh seorang saksi yang sedang memancing di tebing lombong itu pada jam 2.30 petang.

"Saksi mendakwa telah melihat mayat itu dalam jarak kira-kira 300 meter, sebelum menghubungi Balai Polis Dengkil untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Wan Kamarul Azran berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Dengkil telah membantu mengangkat mayat ke tebing lombong tersebut.

"Mayat dianggarkan berketinggian lebih kurang 180 sentimeter dan bertubuh gempal dan disyaki warga asing kerana tiada tanda suntikan BCG (Bacillus Calmette Guerin)," katanya.

Beliau berkata, mangsa juga dipercayai telah meninggal dunia sejak tiga hari yang lalu berdasarkan keadaan tubuh badannya yang telah lebam dan menggelembung serta kulit menggelupas.

"Pemeriksaan di sekitar kawasan lombong seluas kira-kira 10 ekar juga tidak menjumpai kenderaan yang digunakan oleh mangsa," katanya.

Beliau berkata, kawasan lombong itu juga tidak berpagar dan boleh diakses secara bebas.

"Kawasan lombong ini merupakan tumpuan orang ramai untuk memancing," katanya.

Wan Kamarul Azran berkata, hasil pemeriksaan forensik mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

"Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.