Wanita OKU hilang di hospital

Raabah Laily dilaporkan hilang ketika menunggu nombor giliran mengambil ubat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini pada Khamis.
Raabah Laily dilaporkan hilang ketika menunggu nombor giliran mengambil ubat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang wanita orang kurang upaya(OKU) dilaporkan hilang ketika menunggu nombor giliran mengambil ubat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, polis menerima laporan berhubung kehilangan Rabaah Laily, 33, yang merupakan OKU bisu dan lemah daripada ibunya pada Jumaat lalu.

"Pengadu memberitahu pada 19 Januari lalu, jam 10 pagi telah ke Pusat Kesihatan Mental Masyarakat di Kuala Pilah untuk mendapatkan rawatan anaknya.

"Pada jam 11 pagi, pengadu bersama anaknya telah ke bahagian Farmasi HTAN untuk mengambil ubat, namun menyedari mangsa tiada ketika sedang urusan menunggu nombor giliran," katanya dalam kenyataan kepada media pada Selasa.

Menurutnya, pengadu cuba mencari anaknya dengan bertanya kepada pengawal keselamatan bertugas namun tiada maklumat diperoleh.

Kata Amran, bertindak atas laporan, polis telah pun merakam keterangan pengadu dan melawat lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

"Difahamkan sebelum hilang, mangsa yang berkulit putih dengan ketinggian 160 sentimeter dengan anggaran berat 74 kilogram memakai baju berwarna coklat belacan, seluar coklat, tudung coklat belang hitam dan kasut warna cerah.

"Mangsa juga berambut lurus pendek, mempunyai kening tebal, berhidung mancung dan terdapat tanda pembedahan di pergelangan tangan sebelah kiri," katanya.

Tambahnya, mangsa merupakan pesakit psikiatri dan masih menerima rawatan sejak berusia 15 tahun.