'Jangan anggap rakyat Malaysia tak reti maksud sedekah'

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - UMNO Perak menyifatkan pemberian sedekah ketika musim pilihan raya dengan tujuan mempengaruhi pengundi untuk menyokong mana-mana calon adalah rasuah.

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sedekah merupakan perbuatan kebajikan dengan membantu orang susah yang dilakukan sepanjang masa dan bukan bermusim.

Jelas beliau, amat jelas jika pemberian yang dikatakan sedekah itu diberikan ketika musim pilihan raya bertujuan untuk mendapatkan sokongan dan meraih undi.

"Janganlah anggap rakyat Malaysia ini tak reti sangat maksud sedekah. Dalam erti kata lain kalau ikut SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), mana-mana pihak memberi dalam apa jua bentuk, dia bagi wang ke, bagi sampul ke, bagi tanah ke dengan tujuan untuk mempengaruhi pengundi mengundi dia, itu adalah rasuah.

"Sedekah ini kita bagi berbuat kebajikan kepada orang miskin. Jadi kalau tiba-tiba musim pilihan raya pula nak berbudi, itu menyalahgunakan perkataan sedekah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Pelancaran Projek Piccadilly@Greentown di sini pada Selasa.

Turut berangkat menyempurnakan perasmian tersebut, Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.

Dalam perkembangan sama, Saarani mengalu-alukan mana-mana pihak di negeri ini yang mempunyai bukti dan maklumat pemberian wang daripada calon mahu pun parti politik untuk membuat laporan kepada SPR.

Jelasnya, perbuatan tersebut jelas merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang boleh diambil tindakan.

"Saya tak ada kepastian (berlaku pemberian wang kepada pengundi) sebab kita pun tak ada menghantar mana-mana perisik untuk ambil gambar. Tapi kita tak berani untuk mengatakan tidak ada (rasuah pengundi) cuma secara prinsipnya dengan apa cara sekalipun, jelas menjadi kesalahan pilihan raya bagi mana-mana yang terlibat.

"Jika sekiranya ada orang yang berani mengaku menerima wang daripada sesiapa calon dan ada bukti yang sahih, dia boleh mengadu kepada SPR dan polis untuk tindakan sewajarnya," katanya.

Terdahulu, Pas Perak dalam satu kenyataan pada Isnin menyifatkan kenyataan UMNO yang menyamakan budaya sedekah dengan amalan rasuah sebagai kecelaruan yang boleh membahayakan negara.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, ini kerana budaya pemberian derma yang menjadi tuntutan agama telah dihidupkan oleh Pas sejak sekian lama.

Sabtu lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan kerana ia hanya sedekah kepada pengundi oleh orang awam.

Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas tindakan UMNO Terengganu yang memfailkan petisyen bagi kerusi Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman dengan alasan wujud rasuah kepada pengundi di ketiga-tiga kerusi terbabit ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).