Pemilik syarikat didakwa kemuka dokumen palsu

Tertuduh (kiri) diiringi anggota SPRM setelah mendengar pendakwaan terhadapnya di Mahkamah Sesyen, pada Selasa.
Tertuduh (kiri) diiringi anggota SPRM setelah mendengar pendakwaan terhadapnya di Mahkamah Sesyen, pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pemilik syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa terhadap lima pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bernilai RM17,500, dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Syakireen Othman, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat telah mengemukakan lima dokumen borang pengesahan pekerja, Program Insentif Pengambilan Pekerja (Hiring Insentive Program) atas nama Round Globe Enterprise bertarikh 30 dan 1 Jun 2021 kepada seorang wanita yang merupakan Pegawai Perkhidmatan pekerjaan Perkeso Kedah.

Tertuduh didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen-dokumen tersebut mengandungi pernyataan palsu mengenai lima individu sedangkan senarai mereka yang dinamakan itu bukan pekerja syarikat berkenaan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara Jun 2021 hingga Julai 2021 di Wisma Perkeso, Jalan Teluk Wan Jah, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 (Akta 694) manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu jika butir matan palsu itu dapat dinilai atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu Zulfadli memohon supaya mahkamah menetapkan kadar jaminan sebanyak RM50,000 bagi kesemua pertuduhan dihadapi tertuduh.

Hakim kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM7,000 bagi kesemua pertuduhan dan tertuduh diperintahkan untuk melapor diri di Pejabat SPRM Alor Setar pada minggu pertama setiap bulan.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Februari depan untuk serahan dokumen serta lantikan peguam oleh tertuduh.