Penduduk tak tahan diganggu burung merpati

Kehadiran burung merpati mengganggu penduduk di Rumah Pangsa PPR Bersepadu Senawang.
Kehadiran burung merpati mengganggu penduduk di Rumah Pangsa PPR Bersepadu Senawang.
A
A
A

SEREMBAN - Kehadiran ratusan burung merpati di kawasan Rumah Pangsa PPR (Program Perumahan Rakyat) Bersepadu Senawang di sini sejak berbelas tahun lalu meresahkan penduduk.

Malah mereka mendakwa sudah banyak kali aduan dibuat kepada pihak berwajib namun sehingga kini tiada tindakan penyelesaian diambil.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Zainal Mohd Nor berkata, masalah itu tidak boleh dipandang ringan kerana semua najis burung merpati jika dibiarkan boleh mendatangkan penyakit.

Zainal
Zainal

"Kalau kehadiran burung-burung ini tidak menimbulkan kacau ganggu tiada masalah, tapi turut menimbulkan pencemaran bau kerana najisnya yang boleh dilihat di merata-rata tempat dan berbahaya.

"Tambahan pula burung-burung ini memang ada setiap masa di kawasan perumahan kami dan telah menjadikan tangki air di semua 24 blok bangunan di sini sebagai 'port' mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Lebih merunsingkan penduduk kata Zainal, burung-burung tersebut turut membuat sarang di dalam siling penduduk yang tinggal di tingkat atas.

Rahmah Desy menunjukkan penutup luhang ke tangki blok bangunan.
Rahmah Desy menunjukkan penutup luhang ke tangki blok bangunan.

Tambahnya, keadaan itu telah menyebabkan siling mereka rosak dan dipenuhi najis selain terdapat bangkai burung yang telah mati.

"Saya sebagai pengerusi KRT dah tak tahu nak buat macam mana kerana sudah banyak kali aduan dibuat dan saya difahamkan yang penduduk pun ada membuat aduan.

"Terus terang kami dah tak tahan lagi dan sangat berharap ada tindakan penyelesaian," katanya.

Sehubungan itu, dia mencadangkan kepada pihak berwajib supaya mengambil tindakan memasang perangkap atau jaring bagi menangkap haiwan berkenaan sebelum menutup sepenuhnya lubang yang ada.

Sementara itu penduduk, Rahmah Desy Ilfsan, 40, berkata, dia terpaksa menutup pintu rumah setiap hari kerana tidak tahan dengan bau najis burung di hadapan rumahnya.

Ujarnya, najis burung merpati yang kering bukan saja boleh mendatangkan penyakit tetapi baunya kurang menyenangkan.

Najis burung merpati boleh dilihat di merata-rata tempat.
Najis burung merpati boleh dilihat di merata-rata tempat.

"Sejak saya berpindah di sini pada tahun 2000 lagi masalah burung merpati ini sudah wujud, tetapi sejak kebelakangan ini makin teruk.

"Setiap hari saya perlu membersihkan najis burung ini dan jika sehari dibiarkan ia sudah memenuhi di hadapan pintu rumah," katanya.

Katanya, disebabkan itu, anak-anaknya yang berusia dua dan lima tahun sering mengalami batuk dan selesema menyebabkan dia jarang membenarkan mereka bermain di luar.