Kiwior kukuhkan pertahanan Arsenal

Jakub Kiwior
Jakub Kiwior
A
A
A

PENDAHULU Liga Perdana Inggeris, Arsenal menandatangani pemain pertahanan Poland, Jakub Kiwior daripada kelab Itali, Spezia dengan kontrak yang dilaporkan bernilai £12 juta (RM63.68 juta).

Menurut kelab itu, Kiwior bersetuju dengan kontrak jangka panjang untuk beraksi bersama Arsenal.

Pemain berusia 22 tahun itu yang beraksi untuk Poland di Piala Dunia Qatar berada di tempat duduk penonton di Stadium Emirates pada Isnin menyaksikan The Gunners menang 3-2 ke atas Manchester United.

Kiwior yang pernah beraksi bersama kelab di Belgium, Anderlecht di awal kariernya berpindah ke Spezia dari MSK Zilina pada 2021.

Dia membuat 43 penampilan semasa bersama kelab Serie A itu dan berjaya menambat hati pengendali Gunners, Mikel Arteta.

"Amat bagus untuk Jakub sertai kami. Dia merupakan pemain pertahanan yang serba boleh dan telah menunjukkan potensi dan kualiti bersama Spezia di Serie A dan di peringkat antarabangsa bersama Poland.

"Dia akan memberikan kami kekuatan dan kualiti di bahagian pertahanan. Kami mengalu-alukan Jakub dan keluarganya ke Arsenal dan melihat ke hadapan untuk bekerjasama dengannya," kata Arteta.