Bandar di utara China catat suhu paling rendah

Mohe merupakan bandar paling sejuk di China dan musim sejuk selalunya berlarutan selama lapan bulan. - Foto Pexels
Mohe merupakan bandar paling sejuk di China dan musim sejuk selalunya berlarutan selama lapan bulan. - Foto Pexels
A
A
A

BANDAR paling utara di China, Mohe, merekodkan suhu paling rendah sejak penyimpanan rekod moden bermula.

Mohe, yang dikenali sebagai 'Kutub Utara China', terletak di wilayah Heilongjiang di sempadan Rusia.

Pada Ahad, stesen meteorologi tempatan mencatatkan suhu -53 darjah Celsius pada jam 7 pagi.

Sebelum ini suhu paling rendah pernah dicatatkan di bandar itu adalah -52.3 darjah Celsius pada tahun 1969.

Suhu paling rendah yang dicatatkan di China adalah -58 darjah Celsius di Genhe, Mongolia pada bulan Disember 2009.

Mohe merupakan bandar paling sejuk di China dan musim sejuk selalunya berlarutan selama lapan bulan.

Keadaan ini menjadikan bandar tersebut popular dalam kalangan pelancong yang ingin menikmati taman salji dan pusat permainan meluncur.

Minggu lepas pihak berkuasa mengeluarkan amaran cuaca buruk dengan suhu sangat rendah dan angin kencang di beberapa kawasan.

Beberapa kawasan di kawasan pergunungan Khingan, yang melintasi Mongolia dan Heilongjiang, mencatatkan suhu sangat rendah pada hujung minggu, lapor agensi berita Xinhua.

Sejak Jumaat, suhu yang dicatatkan di bawah -50 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut. - Awani