DBKL arah tutup 14 kedai dikendali warga asing

Sebanyak 14 premis dikendalikan warga asing diarah tutup serta-merta dalam operasi yang dijalankan DBKL pada Sabtu. Foto: DBKL
Sebanyak 14 premis dikendalikan warga asing diarah tutup serta-merta dalam operasi yang dijalankan DBKL pada Sabtu. Foto: DBKL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 14 premis dikendalikan warga asing di Kenanga Wholesale City, Jalan Kenanga off Jalan Gelugor, di sini diarah tutup serta-merta dalam operasi penguatkuasaan pada Sabtu.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu hantaran di Facebook berkata, tindakan khas itu dijalankan ke atas 15 buah premis susulan risikan pihaknya sejak seminggu lalu.

"Serbuan dijalankan secara mengejut ke atas 15 buah premis perniagaan barangan am melibatkan aktiviti penjualan pakaian, tekstil, alatan jahitan yang dikendalikan oleh warga Bangladesh, Indonesia dan Myanmar.

"DBKL membuat semakan ke atas 20 orang pembantu atau pengendali premis warga asing dan terus membuat tindakan penutupan serta-merta terhadap 14 buah premis menerusi Seksyen 101 (1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976," kata hantaran itu pada Ahad.

Seorang anggota penguat kuasa DBKL menampal notis penutupan pada pintu premis dalam operasi yang dijalankan DBKL pada Sabtu. Foto: DBKL
Seorang anggota penguat kuasa DBKL menampal notis penutupan pada pintu premis dalam operasi yang dijalankan DBKL pada Sabtu. Foto: DBKL

DBKL turut mengeluarkan 15 notis kompaun terhadap premis tersebut di bawah Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 kerana tiada lesen perniagaan dan melantik pembantu tiada kebenaran.

"Surat tunjuk sebab akan dikeluarkan selepas ini terus kepada pemilik premis warga tempatan bagi pengesyoran penamatan atau pembatalan lesen perniagaan berikutan membenarkan warga asing mengendalikan aktiviti perniagaan mereka tanpa kebenaran sah," jelas DBKL.