Padah ingkar larangan, dua lori muatan pasir disita

Dua lori yang membawa muatan pasir disita di JPJ Muadzam Shah. - Foto Ihsan JPJ Pahang
Dua lori yang membawa muatan pasir disita di JPJ Muadzam Shah. - Foto Ihsan JPJ Pahang
A
A
A

ROMPIN - Padah ingkar arahan perintah larangan pemanduan kenderaan barangan sempena Tahun Baharu Cina, dua lori dikenakan tindakan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, dua lori yang membawa muatan pasir itu telah ditahan empat anggota JPJ cawangan Muadzam Shah dalam operasi penguatkuasaan Tahun Baharu Cina dua hari lalu.

"Lori berkenaan dalam perjalanan dari Kuantan ke Melaka dan didapati bergerak di kilometer 100, Jalan Kuantan - Segamat di sini dalam tempoh larangan berkenaan.

"Selepas pemeriksaan, pemandu dan pemilik kenderaan diambil tindakan kerana melanggar perintah larangan itu dan kenderaan terbabit dibawa ke JPJ Muadzam Shah untuk disita," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau memberitahu, kenderaan berat itu disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum itu, Kamarul Iskandar berkata, operasi penguatkuasaan Tahun Baharu Cina bermula pada 18 hingga 27 Januari ini telah mengeluarkan Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan yang dilaksanakan pada 20 hingga 21 Januari serta 24 dan 25 Januari 2023.

Tambahnya, larangan itu bertujuan untuk mengelakkan risiko berlakunya nahas jalan raya akibat percampuran aliran trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan di atas jalan raya atau lebuh raya, selain mengelakkan daripada kesesakan lalu lintas.

"Namun masih ada segelintir pengusaha dan pemandu lori yang tidak peka dengan arahan yang telah dikeluarkan atau sememangnya bersikap mementingkan diri sendiri.

"Laporkan kesalahan lalu lintas dengan menyalurkan aduan menggunakan Aplikasi MyJPJ melalui menu e-Aduan@jpj atau melalui aduan email JPJ aduantrafik@jpj.gov.my," jelas beliau.