Lelaki dihanyutkan arus Sungai Tanum ditemukan lemas

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat - Gambar ihsan PDRM (Gambar kanan : Arwah Haniff Harun atau dikenali sebagau Hans)
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat - Gambar ihsan PDRM (Gambar kanan : Arwah Haniff Harun atau dikenali sebagau Hans)
A
A
A

LIPIS - Pencarian seorang pendaki yang dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan arus deras semasa melintasi Sungai Tanum, Taman Negara Merapoh ketika turun dari Gunung Tahan berdekatan Kuala Juram, Merapoh di sini pada Ahad berakhir apabila ditemukan pada Isnin.

Mayat mangsa, Haniff Harun, 47, dari Kampung Paloh Haji Daud di Kuala Terengganu ditemui tersangkut dalam sungai kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian pada jam 11.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd Noor memberitahu, seramai 58 anggota dan lapan pegawai terdiri pihak polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Isnin.

Menurutnya, hari kedua SAR menyaksikan tiga kumpulan ditubuhkan bagi operasi tersebut yang bermula pada jam 9.30 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1 tengah hari.

"Mangsa akan dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat," kata beliau dalam kenyataan pada Isnin.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.

Sebelum ini, mangsa antara seramai 10 orang kumpulan pendaki mula mendaki Gunung Tahan melalui Kuala Juram, Merapoh pada 20 Januari lalu dan dijangka turun semula pada 24 Januari ini.

Namun semasa perjalanan hujan lebat menyebabkan kumpulan pendaki itu tidak dapat meneruskan pendakian lalu terpaksa berpatah balik ke Kuala Juram sehinggalah dimaklumkan tentang kejadian mangsa dihanyutkan air Sungai Tanum.

Kumpulan tersebut dipandu arah oleh seorang malim gunung dan seorang pembawa barang manakala jarak lokasi kejadian dari Kuala Juram, Merapoh kira-kira tiga kilometer dan lebar sungai mangsa hanyut lebih kurang 20 meter.