Pas bela hak orang Islam, tidak zalimi kaum lain

Mohamed Sukri
Mohamed Sukri
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menegaskan parti tersebut tidak bersikap rasis dan tidak menzalimi kaum-kaum lain walaupun matlamat perjuangan parti Islam itu membela hak orang Melayu.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar membidas dakwaan segelintir penyokong Pakatan Harapan (PH) yang mengatakan Pas berpura-pura bersikap 'multi-racial'.

Menurutnya, semangat berbilang kaum telah lama berada dalam Pas menerusi penubuhan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang berfungsi mengumpulkan penyokong Pas dalam kalangan bukan Melayu.

"Bahkan menantu Presiden Pas dari bangsa Cina dan Pas Selangor pula telah melantik Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Melayu kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, Low Lee Leong.

"Anak-anak yang menerima pendidikan awal di prasekolah Pasti (Pusat Asuhan Tunas Islam) juga dididik dengan menghormati kepelbagaian kaum apabila setiap tahun mereka akan berkunjung ke tadika Cina dan jiran tetangga terdekat dalam kalangan bukan Melayu," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, ada sekolah ditubuhkan Pas yang mengajarkan bahasa Mandarin sebagai subjek pembelajaran di sekolah.

Katanya, memperjuangkan hak orang Islam dan Melayu tidak membawa maksud rasis dan menzalimi bangsa-bangsa yang lain.

"Takkan kerana mempertahankan hak dikatakan rasis? Kalau begitu bagaimana pula perjuangan mempertahankan SJK (Sekolah Jenis Kebangsaan) dan lain-lain yang dianggap hak bagi orang bukan melayu?

"Hentikan tindakan cuba menanamkan persepsi buruk pada Pas dengan membawa naratif Pas aebagai parti rasis dan ekstrim.

"DHPP jawapan pada Pas tidak rasis, manakala penyertaan Pas dalam demokrasi adalah bukti Pas tidak ekstrim," tegasnya.