Dua wanita rugi lebih RM380,000 jadi mangsa penipuan

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN- Dua wanita termasuk seorang penjawat awam tampil membuat laporan polis mendakwa menjadi mangsa penipuan dengan nilai kerugian keseluruhan mencecah lebih RM380,190.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kejadian pertama melibatkan seorang penjawat awam berusia 45 tahun yang menjadi mangsa suspek menyamar sebagai pegawai polis.

Menurutnya, nasib malang menimpa wanita itu bermula selepas dia menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai sebuah syarikat insuran memaklumkan kononnya mangsa terlibat dengan tiga tuntutan insuran palsu, November tahun lalu.

"Mangsa yang menafikan kaitannya dengan kes itu diminta segera membuat laporan melalui panggilan yang disambung kepada seorang 'pegawai polis'.

"Melalui semakan dibuat 'pegawai polis' itu, mangsa diberitahu dia juga dikehendaki kerana terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan rasuah," katanya.

Ramli berkata, suspek menawarkan bantuan untuk menyelesaikan kes itu dan mangsa diarahkan membayar wang ikat jamin RM400,000 dan menyerahkan maklumat akaun banknya.

"Bimbang berdepan tindakan undang-undang, mangsa mendedahkan maklumat akaun banknya kepada suspek

"Mangsa menyedari ditipu apabila mendapati wang dalam akaun banknya berjumlah RM215,100 telah dipindahkan ke akaun bank tidak dikenali melalui 33 transaksi," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang wanita berusia 37 tahun kerugian RM165,090 selepas menjadi mangsa suspek yang menyamar pekerja sebuah syarikat kurier.

Beliau berkata, mangsa menerima panggilan daripada suspek pada 13 Januari lalu berhubung bungkusan mengandungi barang terlarang atas namanya.

"Panggilan kemudian dihubungkan kepada seorang pegawai polis sebelum mangsa dimaklumkan maklumat peribadinya telah digunakan seorang lelaki untuk membuka akaun bank dan turut memberikan kebenaran akaun banknya digunakan bagi tujuan pengubahan wang haram.

"Suspek mengarahkan mangsa mengisi maklumat perbankannya melalui pautan diberikan bagi tujuan siasatan," jelasnya.

Ramli berkata, selepas semua proses itu dibuat, mangsa membuat semakan akaun banknya pada 17 Januari lalu dan mendapati wang simpanannya berkurangan RM165,090.