19 pemandu mabuk ditahan di KL

Sarifudin (kiri) memeriksa sebuah motosikal dalam Op Selamat 19 di Jalan Bangsar pada Sabtu.
Sarifudin (kiri) memeriksa sebuah motosikal dalam Op Selamat 19 di Jalan Bangsar pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 19 individu memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan dalam Op Selamat 19 di sekitar ibu kota sejak Rabu hingga Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesemua individu itu ditahan mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Dalam operasi sama, kita turut menahan enam individu berusia 16 hingga 22 tahun kerana melakukan aksi berbahaya dan mereka akan dituduh di bawah Seksyen 42 akta yang sama," katanya pada sidang akhbar pada Ahad.

Sarifudin berkata, seramai 20 pegawai dan 80 anggota JSPT Kuala Lumpur menjalankan operasi di sekitar Jalan Bangsar, Jalan Genting Klang dan Jalan Ampang.

"Secara keseluruhan, sebanyak 7,998 jumlah saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan manakala 18 buah motosikal telah disita dalam operasi itu.

"Jabatan Alam Sekitar akan mengambil tindakan dan pemeriksaan terhadap kesemua kenderaan yang disita," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 809 kemalangan dilaporkan berlaku di sekitar Ibu kota dalam tempoh sama dengan dua daripadanya membabitkan kemalangan maut yang berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban serta Lebuhraya Sungai Besi (Besraya).