Aaron-Wooi Yik sambar tiket final Terbuka India

Aaron (kiri) dan Wooi Yik berjaya menempah tiket final Terbuka India 2023. - Foto Badminton Photo
Aaron (kiri) dan Wooi Yik berjaya menempah tiket final Terbuka India 2023. - Foto Badminton Photo
A
A
A

BEREGU lelaki negara yang juga juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke final Kejohanan Badminton Terbuka India 2023 selepas menumbangkan gandingan nombor satu dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto sebentar tadi.

Pada aksi separuh akhir di Dewan Tertutup KD Jadhav di New Delhi itu, Aaron-Wooi Yik yang juga beregu nombor tiga dunia meraih kemenangan 11-21, 21-15, 21-16 dalam tempoh hampir satu jam.

Kejayaan membenam Fajar-Rian Ardianto yang baru menjuarai Terbuka Malaysia 2023 Ahad lalu menyaksikan Aaron-Wooi Yik kini berjaya melebarkan rekod kemenangan 4-3 ke atas lawan mereka itu.

Dalam aksi final pada Ahad, Aaron-Wooi Yik yang tersingkir di pusingan kedua Terbuka Malaysia 2023 dijadualkan menentang pemenang di antara beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang atau wakil Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.

Terdahulu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah gagal meneruskan kemaraan ke final apabila tewas 14-21, 16-21 kepada gandingan nombor dua dunia dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Pearly (kiri) dan Thinaah gagal meneruskan kemaraan ke final selepas langkah mereka tersekat di peringkat separuh akhir Terbuka India 2023 di New Delhi pada Sabtu. - Foto Badminton Photo
Pearly (kiri) dan Thinaah gagal meneruskan kemaraan ke final selepas langkah mereka tersekat di peringkat separuh akhir Terbuka India 2023 di New Delhi pada Sabtu. - Foto Badminton Photo

Kali terakhir pertemuan kedua-dua pasangan itu menyaksikan Pearly-Thinaah berjaya melakar satu-satunya kemenangan mereka ke atas Matsuyama-Shida iaitu pada suku akhir Terbuka Perancis 2022, Oktober tahun lalu.

Pearly-Thinaah kini akan mengalihkan fokus mereka bagi menghadapi saingan Masters Indonesia 2023 yang akan berlangsung bermula Selasa nanti.

Juara Terbuka Perancis 2022 itu akan membuka tirai kempen di Jakarta menentang beregu Singapura, Jin Yujia-Crystal Wong dalam aksi pusingan pertama.