Liverpool, Chelsea berkongsi satu mata

Penyerang Liverpool, Cody Bakpo bersaing dengan pemain tengah Chelsea, Jorginho pada aksi di Anfield sebentar tadi.
Penyerang Liverpool, Cody Bakpo bersaing dengan pemain tengah Chelsea, Jorginho pada aksi di Anfield sebentar tadi.
A
A
A

DUA pasukan yang sedang bergelut dengan prestasi tidak menentu - Liverpool dan Chelsea terikat seri tanpa jaringan dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield sebentar tadi.

Sebaik wisel permulaan dibunyikan, kedua-dua pasukan beraksi dengan berhati-hati, namun Chelsea sepatutnya di hadapan seawal minit kelima apabila Kai Havertz berjaya menembusi gawang Liverpool.

Namun, video bantuan pengadil (VAR) mendapati rakan sepasukannya, Thiago Silva terlebih dahulu berada dalam kedudukan ofsaid ketika membuat rembatan sebelum disambar Havertz.

Baki 40 minit babak pertama menyaksikan Chelsea lebih banyak melancarkan asakan berbanding Liverpool, namun tiada sebarang gol dapat dihasilkan.

Babak kedua menyaksikan pengendali Chelsea, Graham Potter memasukkan pemain baharunya, Mykhailo Mudryk yang ternyata menambah sengat The Blues di barisan serangan.

Liverpool cuba untuk meningkatkan asakan mereka bagi memburu gol dengan memasukkan penyerang, Darwin Nunez di pertengahan babak kedua, namun tetap gagal merobek gawang Chelsea.

Keputusan seri itu menyaksikan Liverpool dan Chelsea berkongsi 29 mata, namun dibezakan dengan jumlah perlawanan dan jaringan.

Liverpool yang telah beraksi 19 perlawanan berada di tangga kelapan, sementara Chelsea pula di tangga kesepuluh selepas mengharungi 20 perlawanan.