Pernas sasar buka 10 cawangan Gloria Jean’s bersama koperasi

Abu Bakar As-Sidek (dua dari kanan) merasmikan cawangan milik FELKOP di
Menara Felda, Platinum Park KLCC.
Abu Bakar As-Sidek (dua dari kanan) merasmikan cawangan milik FELKOP di Menara Felda, Platinum Park KLCC.
A
A
A

PERBADANAN Nasional Berhad (Pernas) melalui anak syarikatnya, Wonderful Lifestyle Sdn Bhd (WLSB) menyasarkan kolaborasi bersama koperasi bagi membuka 10 cawangan Gloria Jean’s Coffees dalam tempoh lima tahun.

Bagaimanapun, syarikat itu hari ini membuka cawangan baharu ke-47 di Menara Felda - Platinum Park KLCC kepunyaan Koperasi Kakitangan Felda Malaysia Berhad (FELKOP).

Ahli Lembaga Pengarah (Exco) Pernas, Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek berkata, diharapkan lebih banyak koperasi menceburi dan melabur dalam industri francais khususnya Gloria Jean’s Coffees.

Beliau berkata, pihak koperasi akan dibantu dari segi konsultasi, latihan dan teori serta dibimbing bagi memastikan pulangan pelaburan dapat dicapai dalam jangka masa yang ditetapkan.

Tambahnya, potensi perniagaan kopi dalam bidang francais perlu diteroka oleh pihak koperasi dan diteliti secara kritis.

"Budaya minum kopi dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan perkembangan ini membuka peluang kepada mereka untuk menceburi bidang keusahawanan sekali gus merancakkan lagi industri kopi premium negara seiring dengan usaha meningkatkan taraf ekonomi.

"Pembukaan cawangan oleh FELKOP ini diharap menjadi satu tanda aras kepada koperasi-koperasi lain untuk meneroka peluang menceburi dan melabur dalam francais Gloria Jean’s Coffees," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Abu Bakar As-Sidek memberitahu, Pernas turut memberi peluang kepada bakal usahawan bukan sahaja individu malah kepada pihak koperasi selain menyediakan pelbagai bentuk kemudahan seperti khidmat nasihat, pembiayaan dan program latihan bagi membantu mereka untuk memulakan perniagaan khususnya dalam bidang francais.

"Pernas menyediakan skim pinjaman pembiayaan sehingga 70 peratus (tertakluk pada terma dan syarat) untuk bakal usahawan dan setakat ini telah meluluskan kepada 45 orang usahawan kopi Gloria Jean’s Coffees dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM13 juta.

"Gloria Jean’s Coffees merupakan satu-satunya jenama 'gourmet coffee' antarabangsa yang menawarkan sistem francais di Malaysia bagi menggalakkan ramai usahawan baharu menceburi bidang ini dan seterusnya bergelar 'coffeepreneur'," jelasnya

Gloria Jean’s Coffees menawarkan tiga konsep francais kepada yang berminat untuk menceburi perniagaan itu antaranya konsep lot kedai, kios dan coffee cart.