Rokok, minuman keras seludup hampir RM8 juta dirampas

Polis Sabah berjaya merampas rokok dan minuman keras seludup bernilai hampir RM8 juta dalam serbuan di tiga lokasi berasingan di Sandakan menerusi Op Kontraban, pada Khamis. - Gambar hiasan
Polis Sabah berjaya merampas rokok dan minuman keras seludup bernilai hampir RM8 juta dalam serbuan di tiga lokasi berasingan di Sandakan menerusi Op Kontraban, pada Khamis. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis Sabah berjaya merampas rokok dan minuman keras seludup bernilai hampir RM8 juta dalam serbuan di tiga lokasi berasingan di Sandakan menerusi Op Kontraban, pada Khamis.

Operasi bermula jam 11 pagi hingga 2.30 petang melibatkan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas Bukit Aman, Petugas Khas Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan itu turut berjaya menahan tiga suspek lelaki tempatan berusia 29, 37 dan 45 tahun.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, bertindak atas maklumat dan risikan yang diterima, tiga serbuan dijalankan di dua gudang dan sebuah rumah di Sandakan.

Katanya, hasil pemeriksaan di tiga lokasi berkenaan berjaya merampas rokok tidak bercukai pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM5,950,740.09.

"Pasukan serbuan turut merampas minuman keras yang juga tidak bercukai daripada pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1,714,437.

"Dua van dan sebuah lori dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan turut dirampas dan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM7,915,177.45," katanya ketika dihubungi, pada Sabtu.

Idris berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiga suspek yang ditahan itu bertindak sebagai penjaga premis dan pemandu.

"Ketiga-tiga suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras yang tidak bercukai kastam.

"Tangkapan dan rampasan kemudiannya diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah untuk tindakan siasatan selanjutnya," katanya.

Tambah Idris lagi, kejayaan rampasan ini sekaligus berjaya memutuskan rangkaian sindiket pengedaran dan penjualan rokok serta minuman keras tidak bercukai di Sandakan.

"Siasatan kes mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.