Op Selamat 19: PDRM guna dron pantau aliran trafik

Keadaan lalulintas di Plaza Tol Gombak diambil daripada dron.
Keadaan lalulintas di Plaza Tol Gombak diambil daripada dron.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan Dron Polis Diraja Malaysia telah membantu Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) memantau keadaan lalu lintas di lokasi panas sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Pengarah JSPT, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, ia memudahkan segala input atau maklumat disampaikan dengan pantas kepada petugas JSPT di lapangan agar tindakan segera diambil.

"Kita sentiasa komited dalam memastikan kelancaran lalu lintas untuk keselesaan dan keselamatan semua pengguna jalan raya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pergerakan akan mula sesak apabila orang ramai telah mula pulang ke Pantai Timur, Utara dan Selatan.

"Kita menjangkakan sebanyak 170,000 kenderaan di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak, 60,000 di Lebuhraya Pantai Timur 1, manakala dua juta kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan akan berada di lebuh raya bermula hari ini," katanya.

Pemantauan keadaan lalulintas JSPT bersama Unit Dron, Pasukan Gerakan Udara, PDRM di KM 367.3 PLUS Slim River, Perak
Pemantauan keadaan lalulintas JSPT bersama Unit Dron, Pasukan Gerakan Udara, PDRM di KM 367.3 PLUS Slim River, Perak

Beliau berkata, PDRM menyarankan pengguna jalan raya yang penat dan perlu berehat supaya berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah serta plaza tol di lebuh raya, termasuk bagi menunaikan solat atau ke tandas.

"Kerjasama semua pengguna jalan raya dalam mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas akan memastikan tiada tragedi berlaku di musim perayaan ini," ujarnya.