Maritim Selangor awasi jenayah rentas sempadan

Anggota Maritim Selangor menjalankan rondaan dan pemantauan 24 jam bagi mencegah sebarang elemen jenayah rentas sempadan sepanjang tempoh sambutan Tahun Baharu Cina ini. Gambar kecil: Siva Kumar.
Anggota Maritim Selangor menjalankan rondaan dan pemantauan 24 jam bagi mencegah sebarang elemen jenayah rentas sempadan sepanjang tempoh sambutan Tahun Baharu Cina ini. Gambar kecil: Siva Kumar.
A
A
A

KLANG - Rondaan dan pemantauan di kawasan perairan negeri ini dipertingkatkan bagi membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan melibatkan penyeludupan yang dijangka akan meningkat sepanjang tempoh sambutan Tahun Baharu Cina ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor Kepten Maritim, V Siva Kumar berkata, risikan dijalankan mendapati sindiket dijangka mengambil kesempatan sambutan perayaan ini untuk melakukan kegiatan terbabit.

"Maritim Selangor menggerakkan semua elemen melibatkan keanggotaan dan aset terlibat untuk menjalankan rondaan di kawasan pesisiran pantai untuk mencegah sebarang aktiviti atau jenayah seperti penyeludupan.

"Sindiket dipercayai mengambil kesempatan ini untuk menjalankan kegiatan mereka, namun kita mahu ingatkan bahawa Maritim Selangor sentiasa menjalankan pengawasan 24 jam bagi mencegah sebarang unsur kegiatan terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, antara perkara yang menjadi fokus adalah penyeludupan rokok, arak dan juga imigran.

"Kita sentiasa pertingkat risikan dan sekiranya tertangkap, individu terlibat akan dikenakan hukuman berat.

"Orang ramai juga disaran untuk salur maklumat dalam membantu penguat kuasa dalam usaha membanteras jenayah ini.

"Jika terlihat atau pun mengetahui apa-apa aktiviti yang mencurigakan sila lapor kepada agensi penguat kuasa," katanya.

Dalam pada itu, Siva Kumar berkata, pada masa sama pihaknya turut menasihati agar masyarakat khususnya nelayan supaya sentiasa mengambil kira pelbagai faktor sebelum turun ke laut untuk menangkap ikan.

"Keadaan cuaca ketika ini tidak menentu, selain risiko keadaan laut yang bergelora, saya berharap nelayan khususnya sentiasa mengikuti perkembangan semasa cuaca bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

"Selain itu, nelayan juga perlu menjaga keselamatan diri dengan sentiasa mengutamakan pelbagai aspek keselamatan seperti penyediaan jaket keselamatan dan sebagainya," jelasnya.