Tahun Arnab beri harapan besar pulihkan Sabah - Hajiji

Hajiji
Hajiji
A
A
A

KOTA KINABALU - Tahun Arnab, yang menandakan tahun harapan dalam masyarakat Tionghua, amat bertepatan untuk tahun ini apabila Sabah dan negara menaruh harapan besar untuk pulih daripada impak akibat pandemik Covid-19, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, Tahun Arnab berdasarkan Zodiak Cina itu, juga diharap dapat mencerminkan sifat arnab yang selalu dikaitkan dengan keamanan, kemakmuran dan umur panjang.

“Semoga Tahun ini akan membawa lebih banyak keharmonian, kemajuan ekonomi dan kemakmuran kepada rakyat serta negeri Sabah,” katanya menerusi kenyataan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, semua pihak di Sabah bersyukur perayaan itu turut diraikan bersama rakyat pelbagai kaum serta agama di negeri ini dalam suasana aman, harmoni dan penuh muhibah.

Katanya, kerajaan negeri juga sentiasa memberikan sokongan kepada masyarakat Tionghua untuk menganjurkan aktiviti kebudayaan mereka termasuk Tahun Baharu Cina.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, sifat arnab yang dikaitkan dengan keamanan, kemakmuran dan umur panjang itu diharap dapat memberikan impak yang sama kepada rakyat Sabah.

“Semoga rakyat Sabah juga mendapat keamanan, kemakmuran dan umur panjang pada Tahun Arnab ini selain mendapat rezeki yang melimpah ruah,” katanya.

Presiden Parti Maju Sabah, Datuk Seri Yong Teck Lee berkata, petunjuk utama pertumbuhan ekonomi seperti peningkatan pelaburan, pengeluaran tenaga, pengeluaran makanan, hartanah, pelancongan dan logistik akan menyaksikan Sabah berkembang lebih sihat tahun ini.

Beliau berkata, setelah melihat pelbagai cabaran yang dihadapi Sabah, beliau yakin negeri di Bawah Bayu itu akan tampil lebih kuat berbanding sebelum ini dalam penjajaran semula politik Malaysia yang baharu.

“Bertentangan dengan banyak ramalan penganalisis ekonomi seperti yang dilaporkan dalam media, saya percaya bahawa tahun Arnab pada tahun ini bukan tahun kemelesetan ekonomi bagi Asia, termasuk Sabah,” katanya.

Sementara itu, Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) dengan kerjasama kerajaan Sabah akan menganjurkan perjumpaan Tahun Baharu Cina di Dewan Hakka di Tanjung Lipat di sini, pada 23 Januari mulai jam 12 tengah hari.

Presiden FCAS, Tan Sri T.C Goh berkata FCAS menzahirkan sepenuh penghargaan kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji atas perhatian dan sokongan berterusan dan majlis tersebut akan diserikan dengan pelbagai program menarik termasuk tarian singa serta persembahan nyanyian dan tarian oleh artis tempatan. - Bernama