Tabik Malaysian Tigers!

Marhan antara pencetus semangat Malaysian Tigers pada kempen Piala Dunia 2023 di India.
Marhan antara pencetus semangat Malaysian Tigers pada kempen Piala Dunia 2023 di India.
A
A
A

KEMENANGAN 3-2 ke atas New Zealand dalam aksi terakhir Kumpulan C Piala Dunia 2023 pada Khamis disifatkan sebagai satu pencapaian luar biasa buat skuad hoki lelaki negara yang diketuai kapten, Marhan Jalil.

Malah, pengendali Malaysian Tigers, Arul Selvaraj mengakui kagum dengan peranan dimainkan pemain berusia 32 tahun itu yang tenang mengetuai rakan-rakan sepasukannya.

Menurut Arul, tiga mata penting itu juga dijelmakan dengan komitmen pemain seperti Razie Rahim, Najmi Farizal Jazlan, Faiz Helmi Jali, Shahril Saabah, Faizal Saari, Firhan Ashaari dan Meor Azuan Hassan.

“Sejujurnya saya amat berterima kasih kepada kapten pasukan, Marhan yang menampilkan karakter 'leadership' dan menyuntik semangat juang dalam kalangan pemain pasukan.

“Ya, saya boleh katakan bahawa skuad hoki negara edisi Piala Dunia India 2023 kali ini merupakan 'leadership group team'.

“Keberhasilan yang diraih dalam setiap perlawanan termasuk ketika berdepan New Zealand digerakkan para pemain tonggak ini cukup cemerlang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Kemenangan ke atas New Zealand menyaksikan Malaysia muncul selaku naib juara Kumpulan C dan bakal berdepan pasukan tempat ketiga Kumpulan D, Sepanyol dalam perlawanan 'crossover'.

Jika menang, Malaysian Tigers akan mara suku akhir, namun sekiranya tewas pasukan negara perlu beraksi dalam peringkat klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-16.

Arul berkata, Faizal dan Razie juga menjadi watak penting ketika menghadirkan tiga gol buat skuad negara dalam perlawanan tersebut.

“Apabila seorang jeneral mempamerkan contoh kepimpinan yang baik dalam dan luar padang, saya percaya anggota unitnya pasti akan melakukan yang terbaik semasa perlawanan.

“Kelapan-lapan pemain ini tunjang kekuatan pasukan sepanjang saingan Piala Dunia 2023, dan anda boleh lihat bagaimana mereka menjana pergerakan pasukan ketika berdepan New Zealand.

“Semuanya terbukti apabila mereka berjaya mengekalkan semangat kebersamaan ketika pasukan berdepan situasi genting,” ujarnya.