Buli jalan raya, polis cari pemandu Proton Iriz

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis meminta seorang pemandu Proton Iriz tampil bagi membantu siasatan berkaitan tindakannya boleh mendatangkan risiko kemalangan kepada pemandu kenderaan lain.

Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menerusi kenyataan di Facebook rasminya berkata, satu video tular berdurasi 14 saat memaparkan sebuah kereta Proton Iriz warna hijau dipandu secara berbahaya dan cuba menghalang laluan sebuah kereta (perakam video).

"JSPT menggesa pemandu kereta ini segera tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan memandangkan nombor plat kenderaan tersebut telah dikenal pasti," katanya kenyataan itu.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan anak Perdana Menteri, Nurul Ilham Anwar mendakwa beliau telah menjadi mangsa buli pengguna jalan raya.

Beliau yang merupakan anak keempat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan perkara tersebut menerusi satu perkongsian video yang dimuat naik di Twitternya pada Jumaat.

Berdasarkan perkongsian video berdurasi 14 saat itu, pemandu sebuah kenderaan jenama Proton telah beberapa kali menekan brek di lorong laju.

Menurut Nurul Ilham, tindakan berkenaan amat berbahaya tambahan anaknya yang berusia dua tahun turut berada di dalam kenderaan.