256 individu ditahan dalam Ops Tapis Khas

Muhamad Zaki
Muhamad Zaki
A
A
A

KOTA BHARU - Ops Tapis Khas Jabatan Siasatan Jenayah Jenayah Negeri (JSJN) menahan seramai 256 individu berusia 17 hingga 60 tahun.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, operasi selama tiga hari bermula Selasa itu memberi tumpuan kepada serbuan dan pemeriksaan beberapa kawasan termasuk jalan raya, perumahan, ladang dan kampung nelayan.

"Enam kes dikesan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1972," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) pada Jumaat.

Beliau memberitahu, sebanyak 376 pemeriksaan dan 289 serbuan dilakukan sepanjang operasi itu.

Sementara itu katanya, polis Kelantan melaksanakan pelbagai usaha untuk menerapkan budaya benci jenayah dan dadah melibatkan pelajar.

Muhamad Zaki memberitahu, polis melaksanakan program di peringkat sekolah untuk mendekati remaja selain keterlibatan pelajar universiti.

"Kita akan bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah dan (PPD) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat jika ada kes berkaitan pelajar dan remaja bawah umur," katanya.