Selangor salur bantuan lebih RM700,000 kepada bekas atlet

Khairuddin (empat dari kanan) bersama bekas atlet negeri bergambar pada Program Ceria Atlet Selangor di Kampung Bahagia, Bukit Lagong pada Khamis.
Khairuddin (empat dari kanan) bersama bekas atlet negeri bergambar pada Program Ceria Atlet Selangor di Kampung Bahagia, Bukit Lagong pada Khamis.
A
A
A

SEBANYAK RM789, 560 telah disalurkan kerajaan Selangor menerusi program 'Ceria Atlet' sejak diperkenalkan pada tahun 2020.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, inisiatif dilaksanakan sejak tiga tahun lalu itu sehingga kini memberi manfaat kepada 200 bekas atlet di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan Selangor masih menyasarkan 500 lagi atlet yang berdaftar di bawah Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) menerima manfaat tersebut.

"Yakeb merekodkan seramai 700 bekas atlet berdaftar dan 200 daripada mereka telah menerima sumbangan daripada kerajaan negeri, manakala selebihnya kita menyasarkan 50 atau 100 lagi bekas atlet dapat menerima sumbangan pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Program Ceria Atlet Selangor di Kampung Bahagia, Bukit Lagong di sini pada Khamis.

Mohd Khairuddin berkata, antara bentuk bantuan dihulurkan kepada bekas atlet seperti baik pulih kediaman dan sumbangan barangan perabot.

Ujarnya, sumbangan itu sebagai tanda penghargaan dan jasa atlet di negeri ini yang suatu ketika dahulu pernah mengharumkan nama negeri dan juga negara.

Sehubungan itu, katanya, perlaksanaan program itu diharap menjadi penanda aras dalam menzahirkan keprihatinan kerajaan Selangor dalam membela kebajikan bekas atlet.

Artikel Berkaitan:

"Ini juga sebagai tanda sokongan moral kepada bekas atlet dan memberi isyarat kepada golongan belia bahawa kerajaan negeri sentiasa ada hubungan baik dan menghargai bekas atlet," kata beliau.