Mintah tidak gentar hadapi persaingan

Mintah ketika sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak. - Foto Facebook Terengganu FC
Mintah ketika sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak. - Foto Facebook Terengganu FC
A
A
A

TONGGAK import kelahiran Ghana, Jordan Mintah tidak gentar bersaing dengan dua penyerang baharu bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan Terengganu FC (TFC).

Sebaliknya, beliau yang pernah mencetak nama sebagai penjaring terbanyak Liga Premier musim 2021 menganggap ia sebagai cabaran untuk menampilkan prestasi lebih cemerlang musim ini.

Walaupun ditawarkan kontrak oleh beberapa pasukan lain, Mintah, 27, yang memiliki ketinggian 1.82 meter itu berkata, beliau tetap memilih untuk kekal bersama skuad Penyu kerana beberapa faktor termasuk keindahan alam semulajadi dan budaya di negeri itu.

"Sesuatu yang bagus untuk kembali. Saya gembira dapat kembali ke Terengganu selepas separuh musim bersama Kuala Lumpur City (KL City FC) tahun lepas.

"Sudah tentu ada persaingan...tapi saya akan lakukan yang terbaik untuk mendapatkan tempat. Memang bukan mudah tapi dengan kerja keras, tiada yang mustahil,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini.

Mintah berkata, beliau akan menggunakan pengalaman ketika bersama skuad bimbingan Bojan Hodak untuk membantu TFC jika diberi peluang membarisi kesebelasan utama pasukan itu nanti.

"Saya mendapat pengalaman yang hebat dan berbeza bersama Kuala Lumpur. Kami dapat bersaing dalam Piala Asia (AFC) dan layak ke final. Semua pengalaman itu banyak mengajar saya dan gembira dapat dikongsi dengan TFC,” katanya.

Mintah mula menyertai Terengganu FC ll (TFC ll) pada 2020 sebelum dipinjamkan ke skuad The City Boys Jun tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau kembali semula ke TFC musim ini kerana masih mempunyai kontrak sehingga akhir tahun ini.

Masa depan beliau bersama skuad Penyu dilihat agak sukar selepas TFC mengambil dua lagi penyerang import iaitu Ivan Mamut dan pemain kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn yang baharu sahaja menjulang trofi Piala AFF 2023. - Bernama