Victor suntik semangat Zii Jia

Ciapan Victor Malaysia memberi bayangan untuk terus menyokong Zii Jia.
Ciapan Victor Malaysia memberi bayangan untuk terus menyokong Zii Jia.
A
A
A

JAMINAN sokongan penajaan jenama Victor perlu dijadikan sebagai penyuntik semangat buat pemain badminton perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia untuk bangkit pada kejohanan akan datang.

Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, sokongan tersebut sudah pasti melegakan pemain berusia 25 tahun itu kerana perjalanan kerjayanya dalam badminton masih panjang dan penuh dengan pelbagai cabaran.

Justeru, katanya, Zii Jia kini boleh fokus untuk meningkatkan prestasi tanpa gangguan masalah luar gelanggang termasuk tidak perlu lagi memikirkan soal penajaan.

“Ia (jaminan tajaan) menjadi penyuntik semangat untuk Zii Jia bangkit kerana perjalanan kerjayanya masih panjang.

“Zii Jia boleh fokus untuk tingkatkan prestasi dengan jaminan yang diberikan oleh penajanya. Buat waktu ini tidak perlu risau dengan status penajaannya,” katanya kepada Sukan Sinar.

Menurut Pekan, reaksi daripada Victor sebagai penaja Zii Jia adalah sesuatu yang positif kerana hubungan mereka masih baru dan saling memerlukan, dan beliau yakin ia juga terkandung dalam syarat penajaan.

“Saya pasti hubungan ini adalah untuk jangka panjang atau mempunyai tempoh tertentu yang memberi masa munasabah buat Zii Jia mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Kenyataan Victor ini juga mungkin sebagai ingatan kepada Zii Jia untuk terus fokus dan meningkatkan prestasinya dengan segera,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengulas mengenai sokongan yang akan terus diberikan oleh Victor kepada Zii Jia, meskipun juara Asia itu berdepan prestasi tidak menentu.

Victor Malaysia menerusi catatan di laman sosial memberi bayangan bahawa syarikat dari Taiwan yang terlibat dalam perniagaan peralatan sukan tersebut akan kekal bersama pemain nombor dua dunia itu.

“Jika prestasi Zii Jia terus merudum, penaja akan tetap terus memberi sokongan,” ciap Victor Malaysia di Twitter rasmi pada Ahad.

Sukan Sinar pada Ahad melaporkan Pekan menasihati Zii Jia untuk menimbang semula keputusannya meneruskan kerjaya badminton tanpa jurulatih.

Pekan berkata, jika prestasi pemain nombor satu negara itu terus merudum, ia bukan sahaja memberi tekanan kepada Zii Jia, malah mengundang masalah lain termasuk penaja mungkin menarik diri.

Ia berikutan kemerosotan prestasi pemain yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu dalam kejohanan yang disertainya termasuk tersingkir awal pada Terbuka Malaysia 2023.

Zii Jia sebelum ini turut dikecewakan apabila tersingkir awal pada edisi 2019 dan 2022 Terbuka Malaysia.

Selepas keluar dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Januari 2022, Zii Jia menandatangani kontrak penajaan bersama Victor.

BAM sebelum ini pernah berkolaborasi bersama Victor dengan menjadi penaja selama enam tahun bermula 2015 hingga 2021.

Bagaimanapun jumlah tajaan dan tempoh kontrak Zii Jia dengan syarikat itu tidak didedahkan.

Namun difahamkan jumlah tajaan setahun melebihi RM1 juta dengan tempoh kontrak lebih lima tahun.