[VIDEO] Tiga menyamar pegawai KKM ditahan kes peras ugut

Anbalagan menunjukkan jaket yang digunakan ketiga-tiga suspek yang menyamar sebagai pegawai KKM ketika menjalankan kegiatan pemerasan pada sidang akhbar di IPD Serdang di sini pada Isnin.
Anbalagan menunjukkan jaket yang digunakan ketiga-tiga suspek yang menyamar sebagai pegawai KKM ketika menjalankan kegiatan pemerasan pada sidang akhbar di IPD Serdang di sini pada Isnin.
A
A
A

SERDANG - [DIKEMAS KINI] Tiga lelaki tempatan mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit dengan menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ditahan kerana dipercayai melakukan pemerasan melibatkan beberapa premis kesihatan dan kecantikan tidak berlesen.

Kegiatan yang dikesan dijalankan sekitar kawasan Lembah Klang sejak September 2022 itu dipercayai didalangi salah seorang suspek yang juga lelaki tempatan dan mempunyai asas berkaitan perundangan melibatkan kesihatan.

Kegiatan ketiga-tiga suspek yang dipercayai mempunyai masalah kewangan selain mempunyai hutang dengan ah long itu berjaya dibongkar pihak berkuasa dan kesemuanya diberkas sepasukan anggota polis di sebuah pusat kecantikan di Bandar Puteri, Puchong di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, ketiga-tiga suspek merupakan lelaki tempatan berumur lingkungan 38 hingga 48 tahun ditahan berdasarkan hasil maklumat dan risikan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Serdang dan Balai Polis Seri Kembangan.

"Antara diberkas melibatkan dalang kegiatan ini iaitu seorang peniaga dan berkelulusan dalam jurusan perakaunan, suspek kedua juga merupakan seorang pekerja di sebuah syarikat teknologi maklumat dan suspek ketiga merupakan seorang penganggur.

"Pelbagai barangan telah dirampas melibatkan baju korporat berwarna biru, topi tertera Kementerian Kesihatan Malaysia, kad tertera pengenalan Kementerian Kesihatan Malaysia dan pelbagai peralatan lain," katanya pada sidang akhbar di IPD Serdang di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut katanya, ketiga-tiga suspek dipercayai menjalankan siasatan berkaitan perundangan terlebih dahulu melibatkan perkhidmatan menggunakan peralatan perubatan dan penjualan ubat-ubatan berjadual.

Bagi kesalahan itu katanya, individu disabitkan bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM200,000.

"Suspek dipercayai menggertak akan mengambil tindakan terhadap pemilik premis sehingga mengakibatkan pemilik premis takut dan kesempatan ini digunakan suspek dengan mengugut meminta bayaran kononnya bagi mengelakkan sebarang tindakan dikenakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kegiatan itu dikesan menyasarkan lebih 20 premis di kawasan Serdang, Selayang, Shah Alam, Bukit Jalil, Sentul dan sekitar Kuala Lumpur selain mengaut keuntungan lebih RM42,000.

Ujar Anbalagan, semakan mendapati dua suspek memiliki rekod kesalahan lampau masing-masing melibatkan kes curi dan kes pecah rumah manakala suspek ketiga tidak memiliki sebarang rekod kesalahan lampau.

Beliau berkata, kesemua suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan.