Harrif tekad buru lebih banyak kejayaan musim ini

Harrif Salleh
Harrif Salleh
A
A
A

PAKAR pecut pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh bertekad memburu lebih banyak kejayaan pada musim ini.

Malah pelumba berusia 35 tahun itu terus memasang impian untuk memenangi sebanyak mungkin podium bermula dengan perlumbaan pertama di Arab Saudi bulan depan, selepas mencipta sejarah sebagai pelumba pertama Malaysia yang memenangi siri perlumbaan Jelajah Eropah Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Turkiye tahun lalu.

“Semestinya saingan tahun ini lebih mencabar dengan jumlah perlumbaan yang lebih banyak dan bertaraf 2.1 dan 2.Pro.

“Tetapi ia sebenarnya membuatkan saya semakin bersemangat untuk mencipta lebih banyak kemenangan bersama rakan sepasukan yang ramai juga muka-muka baharu,” katanya ketika ditemui pada majlis pengenalan pelumba dan penaja di sini, baru-baru ini.

Mohd Harrif berkata, walaupun abangnya, Zamri sudah tidak berada dalam pasukan kerana dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jurulatih Akademi TSG, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan perjuangan bersama pasukan itu.

“Mungkin akan terasa sedikit kehilangan kerana beliau (Zamri) juga kapten pasukan sebelum ini. Tetapi itu tak menjadi masalah kerana rakan sepasukan lain sentiasa ada untuk membantu,” ujarnya.

TSG yang dibarisi 16 pelumba termasuk sembilan anak tempatan dan tujuh pelumba import memulakan kem latihan pusat pada Sabtu.

Latihan selama dua minggu itu akan bermula di Kuala Terengganu menuju ke negeri-negeri utara sebelum berkampung di Cameron Highlands dan berakhir di Selangor.

Artikel Berkaitan:

Seramai lapan pelumba akan bertolak ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 27 Januari ini untuk menyertai perlumbaan pertama TSG bertaraf 2.2, Tour of Sharjah. - Bernama