Perlu letak standard pencapaian akademik di sekolah

Aminuddin (dua, kanan) pada sidang media selepas majlis Anugerah Akademik Terbilang 2019 di sebuah hotel di sini hari ini.
Aminuddin (dua, kanan) pada sidang media selepas majlis Anugerah Akademik Terbilang 2019 di sebuah hotel di sini hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan perlu meletakkan standard pencapaian akademik yang tinggi untuk semua sekolah.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, langkah itu bagi memastikan rekod prestasi pendidikan negeri ini terus berada pada tahap cemerlang.

"Kita letak sasaran tinggi untuk lihat Negeri Sembilan tidak tertinggal dalam agenda pendidikan nasional.

"Pada masa sama nak lihat prestasi pelajar kita terus unggul dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang berada dalam 'rangking' terbaik," katanya pada sidang media selepas majlis Anugerah Akademik Terbilang 2019 di sebuah hotel di sini hari ini.

Menurutnya, selain akademik, pembentukan sahsiah diri juga perlu diberi perhatian demi melahirkan pembangunan modal insan.

Aminuddin bergambar bersama warga pendidik dan pelajar sempena majlis Anugerah Akademik Terbilang 2019 di sebuah hotel di sini hari ini.
Aminuddin bergambar bersama warga pendidik dan pelajar sempena majlis Anugerah Akademik Terbilang 2019 di sebuah hotel di sini hari ini.

Sementara itu beliau dalam ucapannya berkata, para pendidik perlu 'cakna' dengan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) semakan.

"KSSR semakan ini dilakukan bagi memastikan kurikulum persekolahan kekal relevan dengan perkembangan dan keperluan semasa.

"Pendidik juga perlu mengimplementasikan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dalam pembelajaran pelajar yang berperanan mengukuhkan pembelajaran pelajar, meningkatkan keberkesanan pengajaran guru serta mampu memberi maklumat yang sahih tentang apa telah dilaksanakan atau dicapai dalam proses pembelajaran pelajar, " katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, walaupun terdapat beberapa isu dan cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan program berkenaan, ia perlu dilaksanakan dalam usaha menyokong Kementerian Pendidikan Malaysia agar Pendidikan Abad 21 menjadi kenyataan.

Katanya, kejayaan transformasi pendidikan akan tercapai apabila setiap individu berkhidmat dengan komitmen yang tinggi dan bekerjasama sebagai satu pasukan.

Sementara itu pada majlis berkenaan seramai 222 penerima anugerah terdiri daripada warga pendidik dan pelajar.