Pegawai imigresen dibebaskan kes rasuah

Mohd Faizzan (tengah) hadir dengan ditemani peguamnya di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat bagi mendengar keputusan kes rasuah.
Mohd Faizzan (tengah) hadir dengan ditemani peguamnya di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat bagi mendengar keputusan kes rasuah.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) menarik nafas lega, selepas Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat melepas dan membebaskannya daripada tiga pertuduhan kes rasuah melibatkan jumlah RM1,000 pada 2019 dan 2020 lalu.

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan terhadap Mohd Faizzan Sani, 36, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Pasport yang diserahkan kepada mahkamah dan wang jaminan dikembalikan, manakala dokumen serta ekshibit dipulangkan selepas 14 hari jika tiada rayuan,” katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan, Mohd Faizzan didakwa telah diberi wang suapan berjumlah RM300 oleh tiga pembantu imigresen sebagai orang tengah bagi melepaskan warganegara asing daripada sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Imigresen, KLIA2 pada November 2019, Januari dan November 2020.

Ia melanggar peruntukan Seksyen 2(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada SPRM.

Dia didakwa mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras manakala Mohd Faizzan diwakili peguam, Ahmad Ishrakh Saad dan Fadzil Noor Alias.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Faizzan menzahirkan rasa syukur dan gembira atas keputusan mahkamah yang memihak kepada dirinya.

“Pada April tahun lalu, saya diarahkan bela diri. Perkara itu mengejutkan saya kerana sangka akan lepas dan bebas daripada pertuduhan.

“Namun, ia memberi peluang kepada saya untuk mendapatkan dokumen membabitkan jadual tugas dan kedatangan pekerja. Di situ ada keraguan terhadap pertuduhan saya,” katanya.

Pada 6 Februari 2021, media melaporkan, dua pegawai imigresen dan seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan rasuah kerana melepaskan warga asing keluar dari Malaysia di KLIA dan KLIA2 serta pengubahan wang haram, antara Februari 2018 hingga November tahun lepas.