Lanyak Gajah Perang!

Faisal Halim (tengah) dijangka mengetuai jentera serangan Harimau Malaya apabila berdepan Thailand dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini. - FOTO: FB FAM
Faisal Halim (tengah) dijangka mengetuai jentera serangan Harimau Malaya apabila berdepan Thailand dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini. - FOTO: FB FAM
A
A
A

BERAKSI di laman sendiri seharusnya menjadi kelebihan buat skuad Harimau Malaya apabila berdepan Thailand dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu.

Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, bekalan lebih daripada dua gol seharusnya dicari barisan pemain Harimau Malaya untuk memastikan tugas lebih mudah apabila bertandang ke Stadium Thammasat, Bangkok Selasa ini.

Malah, beliau juga percaya faktor ribuan penyokong Harimau Malaya yang akan hadir menggamatkan stadium mampu mencipta gerun kepada skuad Gajah Perang itu.

“Saya yakin peluang Malaysia cerah untuk menang aksi pertama ini sekiranya dilihat kepada prestasi semasa yang ditunjukkan oleh mereka dalam perlawanan menentang Singapura tempoh hari.

“Saya sendiri mengharapkan skuad negara dapat lebih daripada dua gol kerana ia akan memastikan peluang kita mara ke final lebih terbuka luas.

“Thailand juga sudah tentu akan tenggelam dengan kehadiran puluhan ribu pemain ke-12 kita, selain rekod perlawanan kita agak cemerlang di Bukit Jalil,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Pertembungan kedua-dua pasukan di pentas Piala AFF sering menyajikan aksi penuh dramatik dengan Thailand merekodkan enam kemenangan, lima seri dan dua kekalahan sejak piala itu diperkenalkan pada 1996.

Namun, jika dinilai prestasi dalam tiga aksi terakhir, Malaysia tampak berkelebihan apabila meraih dua kemenangan pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Wan Jamak juga percaya Thailand tidak akan bermain secara bertahan dalam perlawanan tersebut, sekali gus membuka ruang buat Harimau Malaya merobek gawang lawan.

Namun, beliau mengingatkan benteng pertahanan Harimau Malaya perlu diperkukuhkan kerana skuad kendalian Alexandre Polking itu mempunyai pemain berkualiti di bahagian serangan.

“Saya lihat apa yang dilakukan pasukan negara ketika menentang Singapura sebelum ini perlu dikekalkan iaitu menyerang sebagai satu pasukan dan bertahan sebagai satu pasukan.

“Saya juga yakin staf jurulatih pasukan negara sudah membuat kajian mendalam di mana kelemahan pasukan lawan. Thailand juga tidak akan bermain bertahan dan taktikal berkesan perlu diaplikasikan coach Kim Pan-gon untuk merobek lawan,” jelasnya.