Harga maksimum minyak masak botol kekal

PUTRAJAYA - Harga runcit maksimum minyak masak tulen kemasan botol bagi tempoh 8 Januari hingga 7 Februari depan kekal pada RM6.90 sekilogram.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayob menerusi kenyataan pada Selasa berkata, turut dikekalkan harga adalah bagi kemasan botol dua kilogram (kg) RM13.30, 3kg (RM19.60) dan 5kg (RM30.90).
"Kementerian ini memaklumkan bahawa harga maksimum dikekalkan walaupun harga purata Minyak Sawit Mentah (CPO) di pasaran dunia mengalami peningkatan pada Disember lalu," katanya.
Menurutnya, pihak yang menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.