Maritim Malaysia selamatkan kapal layar hanyut bersama kru

Empat kru warga Myanmar termasuk nakhoda berada di atas kapal layar Puteri Mahsuri yang hanyut kira-kira 60 batu nautika ke arah sempadan Malaysia-Thailand.
Empat kru warga Myanmar termasuk nakhoda berada di atas kapal layar Puteri Mahsuri yang hanyut kira-kira 60 batu nautika ke arah sempadan Malaysia-Thailand.
A
A
A

LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menyelamatkan sebuah kapal layar bersama kru yang hanyut akibat terputus rantai sauh dalam kejadian pada pagi Rabu.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, mereka dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan melalui Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi yang menerima panggilan daripada Pusat Operasi Mawila 3 Tentera Laut Diraja Malaysia pada jam 8 pagi.

Katanya, kapal layar Puteri Mahsuri yang lama bersauh di perairan Langkawi telah mengaktifkan sistem isyarat kecemasan dan isyarat diterima oleh Pusat Operasi Mawila 3 Tentera Laut Diraja Malaysia.

"Empat kru warga Myanmar termasuk nakhoda berada di atas kapal layar tersebut yang hanyut sejauh kira-kira 60 batu nautika ke arah sempadan Malaysia - Thailand," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, MRSC Langkawi mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat pada jam 10 pagi untuk memberi bantuan sewajarnya.

"KD Lekiu dalam perintah operasi telah mengesan kapal layar tersebut dan memberi bantuan awal pada jam lebih kurang 12 tengah hari," katanya.

Romli berkata, Maritim Malaysia khususnya Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis mengingatkan semua komuniti maritim supaya sentiasa peka dengan keadaan cuaca buruk.

"Mereka dinasihatkan mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!