Masjid Jamek Shaik Eusoff miliki perpustakaan digital

Ahmad Zakiyuddin (berdiri kiri) meninjau perpustakaan digital di Masjid Jamek Shaik Eusoff di Georgetown.
Ahmad Zakiyuddin (berdiri kiri) meninjau perpustakaan digital di Masjid Jamek Shaik Eusoff di Georgetown.
A
A
A

GEORGETOWN - Masjid Jamek Shaik Eusoff Dhoby Ghaut muncul masjid pertama di Malaysia yang mempunyai ruang khas perpustakaan digital untuk jemaah dan pelajar di negeri mendapatkan maklumat dan bahan-bahan digital.

Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat (YBR), Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, inisiatif itu merupakan inisiatif pertama yang dilaksanakan di masjid yang mana sebelum ini YBR memfokuskan kepada institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, E-Library Raudhatul Ulum di masjid itu bertujuan untuk meningkatkan taraf pendidikan tanpa sempadan selain menggalakkan budaya membaca dalam kalangan jemaah masjid serta penduduk setempat.

"Prihatin dalam meningkatkan taraf pendidikan tanpa sempadan, YBR bersetuju untuk menyediakan Serambi Ilmu Rakyat (SIR) Corner di Masjid Jamek Shaik Eusoff Dhoby Ghaut bertujuan menggalakkan pembacaan dalam platfom digital serta membudayakan amalan membaca dalam rakyat terutamanya para jemaah masjid dan juga penduduk setempat," katanya dalam ucapan ketika merasmikan E-Library Raudhatul Ulum pada Sabtu.

Turut hadir, Pengerusi Masjid Masjid Jamek Shaik Eusoff Dhoby Ghaut, Yusof Yaacob dan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Tambah Syaiful, SIR Corner merupakan projek baru bagi tahun ini yang menyediakan satu ruang yang dilengkapi dengan set komputer, meja dan 50 keahlian perpustakaan digital.

"Ia bagi memudahkan perkongsian maklumat melalui koleksi bahan-bahan bacaan digital SIR yang bersesuai dengan komuniti setempat.

"Kita juga berharap sekurang-kurangnya komuniti yang hadir ke masjid untuk beribadah, dapat menggunakan peluang ini sebagai salah satu platform mencari bahan-bahan digital dan informasi terkini ketika di masjid semasa menunggu waktu solat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Syaiful berkata, Program Kem Remaja Mumtaz dengan kerjasama Masjid Jamek Shaik Eusoff Dhoby Ghaut ini turut diadakan di masjid itu.

Katanya, program itu disertai 80 pelajar muslim dalam kariah Masjid Jamek Shaik Eusoff Dhoby Ghaut yang terdiri daripada pelajar keluarga B40.

"Anggaran pelajar yang hadir berusia dalam lingkungan tujuh hingga 17 tahun. Program ini yang berlangsung selama tiga hari, bertujuan untuk meningkatkan lagi daya kefahaman agama dalam kehidupan seharian serta meningkatkan pengetahuan fungsi kanak-kanak dan remaja dalam komuniti.

"Selain misi membantu mereka yang kurang bermampuan terutamanya masyarakat luar bandar, pedalaman dan miskin bandar, Program Kem Remaja ini turut memberi peluang kepada komuniti masjid untuk menjadikan masjid sebagai sebuah hab pendidikan selain ruang untuk beribadah," ujarnya.

Beliau turut berharap inisiatif tersebut dapat memberi momentum dalam melahirkan masyarakat berpendidikan yang menjadi asas kepada kemakmuran serta kesejahteraan negara untuk jangka masa panjang.