Jeritan, tangisan selubungi lokasi tragedi

Anggota dan pegawai APM diberikan taklimat sebelum memulakan tugas mencari dan menyelamat di kawasan tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali.
Anggota dan pegawai APM diberikan taklimat sebelum memulakan tugas mencari dan menyelamat di kawasan tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali.
A
A
A

BATANG KALI - Jeritan, tangisan dari segenap arah, itu antara detik-detik menyedihkan dikongsi pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang merupakan antara agensi terawal menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Hilltop di Father's Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali Jumaat lalu.

Berkongsi pengalaman menguruskan mangsa tragedi itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hulu Selangor, Kapten Pertahanan Awam Hilmi Husman berkata, pihaknya menerima panggilan dari MERS 999 kira-kira jam 2.30 pagi dan terus menghubungi balai polis berhampiran.

"Pada peringkat awal, saya seakan tidak percaya dengan jumlah mangsa dikhabarkan mencecah hampir 100 orang, atas sebab itu saya mendapatkan pengesahan daripada pihak polis.

"Hati saya tidak tenteram memikirkan tragedi tersebut memandangkan bilangan mangsa terlibat yang agak ramai, tanpa berfikir panjang saya bersama lima anggota terus bergegas ke lokasi kejadian," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, dia bersama anggota lain seakan tidak percaya tatkala melihat keadaan yang begitu menyedihkan di lokasi kejadian.

"Bayangkan suara tangisan, jeritan meminta tolong dari segenap arah membuatkan kami pada awalnya terkejut dan hiba dengan situasi tersebut.

"Beberapa mangsa juga dilihat keluar sendiri dari kawasan tanah runtuh tersebut untuk bergerak ke tempat yang lebih selamat, mereka berpandukan sinaran lampu suluh dari atas untuk memohon bantuan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Anggota dan pegawai APM menjadi antara agensi terawal menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Hilltop di Father's Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali Jumaat lalu.
Anggota dan pegawai APM menjadi antara agensi terawal menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Hilltop di Father's Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali Jumaat lalu.

Lebih menyayat hati, ada mangsa dari bahagian atas menjerit menyatakan isteri dan anaknya berada di dalam kereta yang turut ditimbuni runtuhan tanah.

"Namun dengan hon yang dibunyikan mangsa dalam kereta sekali gus membantu kami menemui seorang wanita bersama anaknya.

"Hati saya tersentuh ketika itu tatkala wanita berkenaan meminta kami mengeluarkan anaknya terlebih dahulu, namun wanita berkenaan tidak tahu bahawa anaknya sudah meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, wanita itu kemudian berjaya dikeluarkan dari dalam kereta tersebut selepas anaknya dikeluarkan.

"Saya sempat memeluk anak mangsa yang dipercayai telah meninggal dunia kerana berwajah pucat, sejuk dan tiada nadi, masa itu saya terfikir dan terkenangkan anak saya di rumah, dan terbayangkan kehilangan ahli keluarga yang saya sayang.

"Proses mengeluarkan mangsa memang rumit dengan memecahkan tingkap untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa," katanya.

Ujar Hilmi, keadaan fizikal kawasan runtuhan mencabar disebabkan faktor keadaan tanah yang licin serta berlumpur.

"Situasi kawasan bencana memang merumitkan kerana tanah licin, dan banyak kenderaan musnah akibat tanah runtuh tersebut," katanya.

Pada awal pagi Jumaat, berlaku kejadian tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali sekitar jam 2.30 pagi.

Seramai 94 mangsa terlibat dalam runtuhan tersebut terdiri pengunjung juga pekerja tapak perkhemahan di sana.

Setakat ini, seramai 24 mangsa dilaporkan meninggal dunia dan 9 lagi individu dipercayai masih lagi hilang manakala 61 individu terselamat.