[VIDEO] Dua pegawai imigresen ditahan terlibat seludup PATI

Antara PATI yang ditahan dalam operasi di klia2 pada Jumaat. Foto Imigresen Malaysia.
Antara PATI yang ditahan dalam operasi di klia2 pada Jumaat. Foto Imigresen Malaysia.
A
A
A

SEPANG - Seramai dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan migran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pegawai yang bertugas di kaunter kemasukan berkenaan akan menurunkan cap masuk kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) terbabit dengan bayaran sekitar RM1,000 ke RM2,000 setiap seorang.

"Dalam operasi terbabit, seramai lima PATI berumur antara 31 tahun hingga 49 tahun telah berjaya ditahan. Mereka disenarai hitamkan atas rekod kesalahan lampau.

"Tangkapan terdiri daripada dua perempuan warga Indonesia yang baru sahaja tiba dan seorang lelaki Indonesia yang berperanan sebagai ejen," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Khairul Dzaimee berkata, operasi berkenaan dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Imigresen Putrajaya susulan maklumat awam berkenaan kemasukan PATI yang telah disenaraihitamkan.

Katanya, ejen sindiket yang bersubahat bersama pegawai imigresen di kaunter ketibaan klia2 berkenaan akan mengatur perjalanan PATI terbabit.

"Sejurus tiba di klia2, PATI berkenaan akan dijemput oleh ejen untuk dibawa ke destinasi yang dituju untuk tujuan bekerja secara tidak sah," jelas beliau.

Tambahnya, pegawai di kaunter berkenaan turut tidak merekodkan kemasukan kesemua PATI terbabit ke dalam sistem rekod Imigresen.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua PATI berkenaan ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 manakala kedua-dua pegawai Imigresen dan ejen sindiket disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

"Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Dua orang pegawai imigresen yang terlibat ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan," ujar beliau.