Tubuh RCI siasat isu TH

Mohd Norhiesam
Mohd Norhiesam
A
A
A

GEORGETOWN - Isu pengurusan Tabung Haji (TH) dilihat perlu ditangani melalui siasatan di bawah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan campur tangan Majlis Raja-raja dan bukannya di media massa.

Ketua Pemuda Umno Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Ismail berkata, ia bagi menentukan sama ada pengurusan aset terbesar umat Islam di negara itu selama ini dibuat dengan betul atau sebaliknya.

Menurutnya, masalah TH perlu diselesaikan dengan segera dengan saluran yang betul.

"Cadangan Pemuda Umno Nibong Tebal dalam masalah TH ini adalah dengan menubuhkan RCI segera selain campur tangan Majlis Raja-raja agar rakyat dapat mengetahui siapa yang benar dan salah serta kedudukan sebenar pengurusan TH ini.

"Adalah tidak adil isu TH ini hanya dinilai dan dihakimi melalui media massa tanpa siasatan yang mendalam. Masalah ini perlu diselesaikan segera kerana ini melibatkan aset terbesar umat Islam di negara ini," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, pihaknya turut berharap agar Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja dipanggil segera untuk campur tangan bagi nenyelesaikan masalah berkenaan.

"Biarlah Majlis Raja-raja yang menentukan hala tuju penyiasatan terhadap TH ini. Selain itu, sebagai anak muda, Pemuda Umno Nibong Tebal juga tidak bersetuju dan menentang dalam penjualan aset TH bernilai RM19.9 billion kepada sebuah syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan yang diketuai Lim Guang Eng bagi menampung liabiliti TH.

"Mengapa dilihat begitu mudah dan cepat pengurusan kerajaan PH membuat keputusan seperti ada agenda tersembunyi iaitu dengan mengambil jalan mudah dengan menjual aset bagi menutup masalah negara.

Artikel Berkaitan:

"Yang peliknya, semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan yang mempunyai kaitan dengan Melayu serta Islam dikatakan mengalami kerugian. Maka jalan penyelesaian utamanya adalah menjual aset seperti yang berlaku kepada Felda dan TH," katanya.

Norhiesam turut meminta agar kerajaan PH berhenti dari mencari kesalahan pihak lain untuk mendapatkan populariti murahan.

"Berhentilah mencari salah orang. Tuduhan yang dibuat ini, belum tentu benar kerana ia perlu diteliti dan disiasat secara terperinci. Lebih baik kerajaan baharu ini fokus kepada masalah rakyat yang semakin meruncing seperti masalah pembayaran elaun terhadap peneroka Felda, petani, nelayan dan menggandakan usaha untuk meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara.

"Kerajaan PH juga tidak perlulah hanya pandai menunding jari kepada orang lain sahaja, isu wang Tabung Harapan entah kemana. Adakah rakyat akan terus kena tipu lagi bagi menutup kesalahan dan kelemahan kerajaan PH?," katanya.