Gadis pasang jerangkap samar elak ditangkap junta

Ma Chaw Su Aung diburu pihak junta kerana menghasut penduduk tempatan menyertai gerakan antirampasan kuasa.
Ma Chaw Su Aung diburu pihak junta kerana menghasut penduduk tempatan menyertai gerakan antirampasan kuasa.
A
A
A

YANGON - Seorang gadis berusia 21 tahun di wilayah Sagaing, Myanmar menjadi buruan selepas tindakannya menanam periuk api di sekitar kediaman keluarganya mencederakan puluhan anggota tentera junta.

Jerangkap samar yang dipasang Ma Chaw Su Aung menyebabkan lebih 50 anggota tatmadaw cedera.

Insiden di Kale itu berlaku ketika sepasukan anggota tatmadaw menyerbu kediaman keluarga gadis tersebut selepas dia dituduh menghasut penduduk tempatan di media sosial untuk menyertai gerakan antirampasan kuasa.

Su Aung merupakan anggota Pasukan Pertahanan Rakyat (PDF) yang lantang menyuarakan bantahan terhadap penyingkiran Aung San Suu Kyi menerusi peristiwa rampasan kuasa pada 21 Februari tahun lalu.

"Saya tidak rugi apa-apa sejak menyertai gerakan antijunta. Saya akan lakukan apa sahaja untuk musnahkan mereka (tatmadaw).

"Jerangkap samar itu sebagai peringatan kepada tatmadaw bahawa mereka tidak boleh masuk ke rumah orang sesuka hati," ujarnya.

Su Aung berjaya melarikan diri dan kini dilaporkan sedang bersembunyi di lokasi yang dirahsiakan.

Pada September lalu, junta memberi amaran kepada orang awam supaya tidak menunjukkan sokongan moral kepada kumpulan penentang dengan mengancam untuk mengenakan hukuman penjara hingga 10 tahun semata-mata kerana ‘like’ atau berkongsi kandungan berkait gerakan itu dalam media sosial. - Agensi

Artikel Berkaitan: